KUALA LUMPUR: Penyanyi, Mohammad Rauzan Alwi atau Roy, 59, meluahkan rasa terkilan terhadap netizen yang bukan sahaja mengutuk dan mempersendakan, malah memfitnah dan menuduh artis-artis susah yang menerima bantuan.
Pernah menerima kutukan sedemikian, Roy berkata, tindakan individu-individu berkenaan mencerminkan kebodohan mereka yang membuat fitnah kerana didorong rasa cemburu dan iri hati.
“Netizen tak semua bijak ketika memberi pandangan. Ada yang ikut nafsu dan rasa cemburu. Mereka tak hargai, artis-artis yang susah ini satu masa dahulu pernah hiburkan mereka.
“Memang saya juga pernah dihina, dituduh tak cakna masa depan, tidak menyimpan (duit) dan selalu mengharapkan bantuan sebab sakit. Saya abaikan sahaja komen-komen jahat begini. Mereka tak tahu, saya ini kaya atau miskin. Mudah mereka buat tuduhan.
“Jangan sangka semua artis senang, dibayar tinggi kerana membuat persembahan. Memang ada penyanyi yang dibayar antara RM20,000 hingga RM30,000 untuk buat persembahan. Tapi tak semua bernasib baik seperti itu. Ada juga yang dibayar RM500 hingga RM1,000 sahaja.
“Saya tak akan maafkan mereka yang memfitnah saya. Mereka tak kenal saya, tak tahu pun keadaan kewangan saya. Saya abaikan sahaja orang-orang seperti ini,” luahnya kepada Utusan Malaysia.
Kata penyanyi yang popular dengan lagu Ratnaku ini, penghinaan netizen tidak sedikit pun menimbulkan perasaan ralat dan bimbang dalam dirinya untuk menerima bantuan daripada pihak yang sudi menghulurkan pertolongan.
Kata Roy, dia percaya pertolongan yang datang adalah rezeki yang diturunkan Allah. Justeru dia enggan bersikap kufur dengan menolak bantuan yang datang kepadanya.
“Kalau ada pihak yang mahu membantu dengan ikhlas, saya terima. Sekurang-kurangnya, mereka dapat pahala dengan menolong saya. Saya tak mahu bersikap sombong kepada Allah dengan menolak pertolongannya.
“Yang saya ambil adalah pertolongan daripada-Nya. Saya tak kacau orang, tak bercakap buruk fasal orang lain. Kenapa pula mereka mahu bercakap buruk tentang saya?
“Yang bagi bantuan kepada artis susah ini adalah mereka yang menghargai jasa dan sumbangan artis tersebut. Bagi yang tak mahu membantu, tak perlu menghina,” kongsinya. – UTUSAN