AMAT mustahil sekiranya ada antara kita terfikir bahawa seorang selebriti popular seperti Meerqeen mampu mengelak daripada kata-kata nista mahupun segala kelakuan berunsur buli siber di alam maya.
Ini kerana, media sosial adalah antara ruang bukaan utama buat golongan artis mahupun sesiapa sahaja untuk terdedah kepada negativiti sekali gus mampu membawa seseorang itu terjerumus menjadi mangsa buli yang datangnya daripada pelbagai arah.
Melayangkan pertanyaan kepada Meerqeen, pelakon berusia 24 tahun ini mengakui bukan mudah untuk menepis segala negativiti yang datang menghentam namun semuanya terpulang kepada bagaimana seseorang itu mencuba untuk mengatasi.
“Berbalik kepada diri semula. Ia tentang bagaimana kita mengawal situasi, bagaimana kita menutup sebelah mata untuk tidak melayan benda-benda begitu. Harus saya akui, benda begini (buli) tidak okey buat semua orang.
“Bukan sahaja pelakon, artis, pempengaruh, buli tak okey untuk semua orang. Kalau kita tengok, di sekolah pun ada gejala begini, seakan benda yang normal untuk semua orang yang hidup di muka bumi ini.
“Namun, saya akui, kita kena berhenti menormalisasikan benda-benda begini atau buli ini dalam apa juga keadaan sekali pun,”katanya.
Meerqeen berkata demikian semasa ditemui pada Malam Gala filem Harimau Malaya di sini, baru-baru ini.
Pada masa yang sama, pelakon yang bakatnya digilap menerusi program realiti Hero Remaja 2019/2020 ini berkata, dia juga secara peribadi sudah tidak membaca sebarang komen negatif di media sosial bagi menjaga kesihatan mentalnya.
“Tentang apa yang pernah saya kena atau alami, tidak perlu saya ceritakan di sini kerana ia boleh menghancurkan hati saya sendiri. Nanti orang tahu kelemahan diri saya. Namun, satu cara yang saya buat, ya, saya kini tidak lagi membaca komen-komen.
“Sebabnya, saya rasa mereka semua (golongan pembuli siber) tidak layak mendapat perhatian saya. Selagi boleh saya cuba elak untuk diri sendiri.
“Benda begitu menyuntik elemen tak baik buat diri. Jadi baik saya sekat daripada terus memberi reaksi yang kemudiannya semakin melarat,”katanya.
Bercakap soal reaksi, Meerqeen juga tidak menolak bahawa ada antara pengguna media sosial yang tergamak ‘menyerang’ ahli keluarganya di media sosial semata-mata mahukan perhatian itu.
Kata Meerqeen, jika tidak berupaya mendapat respons atau reaksi daripadanya, keluarga dan orang-orang terdekat adalah sasaran seterusnya yang menjadi mangsa.
“Memang tak dinafikan ada orang begitu. Mungkin silap saya, iyalah, kita ini manusia, tentu akan ada sahaja orang tak berpuas hati kalau tak dapat perhatian kita. Sasaran mudah, mereka akan cari dan cuba raih perhatian orang terdekat kita seperti keluarga.
“Saya tak nafikan, ada sahaja orang yang berani DM atau mesej ibu saya. Namun, saya pesan pada ibu supaya jangan sesekali respons, jawab atau melayan semua itu.
“Saya tak mahu semua negativiti itu mengacau fikiran ibu saya apatah lagi dia pun masih bekerja dan perlu jaga anak-anaknya yang lain. Jadi, tak payah,”katanya.
LEBIH BERHATI PERUT
Tambah pelakon ini lagi, dia juga berharap pengguna media sosial tidak perlu menjadikan komen atau lontaran buah fikiran sebagai satu amalan sekiranya niatnya cuma mahu menghentam dan mengkritik buruk terhadap seseorang artis atau selebriti.
Baginya, keadaan itu tidak sihat dan tiada manfaat yang baik kecuali mampu menyebabkan orang yang diperkatakan itu berada dalam situasi tidak okey.
Pada masa yang sama, Meerqeen berharap pengguna media sosial bersikap lebih berhemah dan berhati perut ketika melontarkan komen.
“Saya faham, kadang kala, ada orang, termasuk diri saya sendiri, tak berfikir sebelum berbuat apa-apa. Kita tak boleh nak salahkan orang seratus peratus sebab itulah lumrah manusia.
“Kalau kita marah sangat dan terlampau emosi, kita tak tahu nak cakap apa, tak tahu nak buat apa dan hanya melontarkan apa yang ada dalam kepala otak tetapi bukan dari hati. Kalau boleh elakkan buat begini.
“Contoh, kalau seseorang itu sudah terlalu lama berdepan dengan situasi kena buli, lama-lama dia akan ‘sakit’ juga. Umpama, kita letak sebatang pokok di tempat yang tak okey, pokok itu pun boleh mati. Jadi masing-masing cuba bersikap baik sesama manusia supaya kita dapat mencipta sebuah masyarakat yang harmoni,”ujarnya.
Dalam pada itu, bercerita mengenai wataknya dalam filem Harimau Malaya, Meerqeen berbangga kerana terbabit dalam sebuah naskhah berbentuk kesukanan adalah apa yang diimpikannya selama ini.
Malah, dia juga berani menerima watak ini kerana mengagumi hasil kerja pengarahnya, Datuk Afdlin Shauki.
“Sebenarnya, saya agak gementar juga kerana naskhah ini diilhamkan daripada sebuah kisah benar. Tetapi disebabkan pengarahnya adalah Afdlin, maka saya buat.
“Saya sendiri pun peminat sukan. Macam-macam sukan saya suka dan main, tetapi bola sepak adalah yang paling disukai. Untuk filem ini, saya pastikan boleh lakukannya dengan betul-betul sebab tak mahu orang kata saya ini acah-acah pandai main bola.
“Sebab itu, latihan yang dibuat pun agak lama. Memang menguji mental dan fizikal, tetapi demi memastikan hasilnya terbaik, saya buat juga,”katanya.