Saya Melayu tapi tidak malu akui ada darah India – Tun M

Saya Melayu tapi tidak malu akui ada darah India – Tun M

Dubai
TUDR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tun Dr. Mahathir Mohamad memberitahu, beliau tidak pernah malu untuk mengakui bahawa dirinya mempunyai darah India namun fakta tersebut tidak bermakna beliau bukan Melayu.

Kata bekas Perdana Menteri itu, bapanya Mohamad Iskandar dilahirkan di Pulau Pinang dan didaf­tarkan sebagai orang Melayu dari Malaysia.

“Dahulu, sewaktu saya jadi Perdana Menteri, bila saya pergi Pakistan, mereka kata saya orang Pakistan. Apabila saya pergi Bangladesh, mereka kata saya orang Bangladesh. Apabila saya pergi Sri Lanka, orang kata saya orang Sri Lanka. Itu kepercayaan mereka dan dipercayai oleh mereka tetapi itu tidak benar. Bapa saya dilahirkan dan didaftar sebagai orang Melayu dari Malaysia.

“Saya tidak malu untuk menyatakan saya mempunyai darah (berketurunan) India tetapi itu tidak bermakna saya bukan Melayu,” kata Dr. Mahathir.

Bekas Presiden UMNO tu berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sama ada beliau malu untuk dikaitkan berketurunan dari Selatan India.

Berdasarkan pernyataan sak­si dan keterangannya di Mahkamah Tinggi di sini semalam, Dr. Mahathir mengulangi bahawa beliau tidak pasti sama ada datuk atau moyang­nya yang berasal dari Kerala, India kerana perkara itu tidak pernah dibincangkan secara serius dalam keluarganya.

Terdahulu, Dr. Mahathir dengan nada keras menegaskan bahawa pertikaian yang menjadi asas samannya adalah ucapan Ahmad Zahid yang antara lain menyatakan beliau ialah ‘Mahathir a/l (anak lelaki) Iskandar Kutty’.

“Apa yang saya katakan, (ucapan yang dibuat) Ahmad Zahid menggambarkan bahawa saya menipu apabila mengatakan nama saya ialah Mahathir bin Mohamad dan bukannya Mahathir a/l Iskandar Kutty. Is menggambarkan saya menipu dan tidak menggunakan nama sebenar (Mahathir a/l Iskandar Kutty) tetapi menggunakan Mahathir Mohamad, jadi saya menipu.

“Ia bukan (pertikaian) sama ada Mahathir nama muslim atau tidak tetapi nama yang dia (Ahmad Zahid) gunakan bukan nama sebenar dan saya tidak menipu apabila saya kata nama saya Mahathir Mohamad,” kata Dr. Mahathir.

Selain itu, Dr. Mahathir ketika dirujuk penulisan, Barry Wain dalam buku ‘Mahathir: The Malaysian Maverick’ yang antaranya menyebut bapanya bernama Mohamad Iskandar Kutty dan berasal dari Jawa Peranakan, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata fakta tersebut adalah salah.

Tambahnya, gambar yang digunakan untuk menunjukkan bapanya juga salah.

Bagaimanapun, ketika disoal kenapa penulis terbabit tidak diambil sebarang tindakan u undang-undang, Dr. Mahathir menjawab: “Dia tidak penting.”

Pada 20 Julai 2022, Dr. Mahathir selaku plaintif memfailkan saman itu dengan menamakan Ahmad Zahid, 71, yang juga Presiden UMNO sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Dr. Mahathir berkata, defendan mengeluarkan kenya­taan palsu, berbaur fitnah dan berniat jahat dengan sengaja merujuk terus kepadanya ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Dr. Mahathir berkata, Ahmad Zahid yang berniat jahat dengan mengeluarkan kenyataan fitnah mendedahkannya kepada rasa tidak puas hati dan dibenci oleh masyarakat.

Susulan itu, beliau berkata, kedudukannya sebagai seorang negarawan dan tokoh politik yang berpengaruh di mata dunia dipandang serong.

Perbicaraan yang didengar oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Tenchiong bersambung petang ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya