Pernah berada di puncak, anugerah dan populariti yang tidak boleh disangkal lagi tiba-tiba hilang ibarat ditelan bumi. Nama Fathia Latiff seakan-akan ‘mati’ dalam industri seni tanah air.
Muncul kembali beberapa tahun ini dengan kontroversi bagai tidak berpenghujung secara tidak langsung menjejaskan kerjaya seninya yang semakin pudar namun tidak juga membantutkan usaha rakan-rakan dan keluarganya dalam membantu keluar dari belenggu itu.
Setelah mula mendapat keyakinan dan hati peminat kembali, Fathia Latiff menyimpan hasrat untuk aktif semula dalam industri seni tanah air seperti dahulu.
Fathia atau nama sebenarnya Nur Fathia Abdul Latiff berkata walaupun agak sukar untuk menyalakan kembali kerjaya seni namun ia tidak akan menjadi penghalang kepadanya untuk mengambil langkah mula seperti dahulu.
“Sekarang susah nak dapat tawaran berlakon. Jadi drama yang bakal ditayangkan ini akan menjadi permulaan baharu bagi saya untuk mula balik berlakon.
“Walaupun ada menerima beberapa tawaran tetapi saya memang pilih drama arahan Erma untuk mulakan balik dalam industri seni,” katanya ketika ditemui pada sidang media drama Jangan Tinggal Abang, Dek baru-baru ini.
Menurut pelakon drama Ariana Rose itu, walaupun sudah lama tidak berlakon namun tidak menjadi masalah kepada dirinya dan tersentuh apabila ada peminat yang menanti untuk melihat dia berlakon.
“Walaupun sudah lama tinggalkan dunia ini tetapi saya tiada masalah untuk berlakon kerana sudah ada pengalaman.
“Ramai peminat bertanya bila nak mula berlakon balik dan apabila saya tengok respon peminat terhadap drama ini, saya terharu sebab ada peminat yang sanggup tengok drama ini disebabkan saya.
“Jadi saya lihat, Ini merupakan zon yang baik untuk saya naikkan nama balik,” ujarnya wanita berusia 37 tahun itu.
Perkembangan terkini, anak kelahiran Pulau Pinang itu bakal muncul di dua drama milik Erma Fatima iaitu Jangan Tinggal Abang, Dek dan Cindarella Jadian.
Drama itu bakal ditayangkan di TikTok Karya TV pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.
KINI LEBIH TENANG
MENYENTUH berkenaan kesihatan dirinya, pemenang Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular ke-29 itu, mengakui dia kini lebih tenang selepas hampir dua tahun mendapatkan rawatan akibat masalah tekanan yang dihadapi.
“Saya ada masalah kemurungan. Perlu jumpa doktor dua minggu sekali dan sudah dua tahun saya menjalani rawatan.
“Sekarang saya rasa lebih tenang dan boleh bekerja. Saya juga di dalam fasa untuk mengembalikan keyakinan diri,” kongsinya.
Jelas Fathia, setiap kebaikan pasti akan ada balasannya kerana dahulunya dia seorang yang selalu membantu orang lain dan ketika dirinya berasa di fasa sebegini, ramai rakan industri yang tampil bertanya khabar dan memberikan semangat untuk kembali pulih.
“Ramai rakan artis terutamanya yang senior, gembira melihat saya kembali ke dunia lakonan dan semakin pulih.
“Waktu saya jatuh, tiada rakan industri yang lari atau menjauh daripada saya malah ramai mereka yang sentiasa tidak putus-putus memberikan semangat kepada saya.
“Semua sangat prihatin dan sampai ada yang sampai telefon sambil menangis bila dapat tahu saya sakit. Saya rasa sangat terharu kerana masih ramai yang ambil berat berkenaan saya walaupun keadaan saya macam itu,” ujarnya. – UTUSAN