KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabella Awang Astillah, 30, enggan untuk mengulas lanjut berkenaan video bekas suaminya, Aliff Aziz yang tular baru -baru ini.
“Saya tidak tahu mengenai hantaran yang tular di TikTok sebagaimana yang diperkatakan. Kalau boleh, saya tidak mahu komen lebih lanjut.
“Sebab itu adalah perjalanan hidupnya. Lagipun kita tak tahu apa niat sebenar seseorang itu. Kalau betul, Alhamdulillah.
“Dan sekiranya dia mahu berubah ke arah yang lebih baik pun, saya hanya mampu mendoakan yang terbaik saja,” katanya ketika ditemui di Sidang Media Konsert Jiwa Malaysia 2024 di Pavilion Bukit Jalil di sini, hari ini.
Sebelum ini, tular sebuah video memperlihatkan Aliff Aziz dilihat bersama-sama dengan sekumpulan tabligh baru-baru ini.
Menerusi sepotong video yang dikongsikan oleh Ustaz Haji Taufik di TikTok, Aliff yang dilihat mengenakan serban putih berada di salah sebuah masjid di Singapura.
Dalam perkongsian sama, Ustaz Haji Taufik turut meninggalkan pesan agar orang ramai tidak mudah meletakkan hukum sesama manusia.
Untuk rekod, Aliff pernah mengikuti jemaah tabligh sekitar Ogos 2021.
Sementara itu, Bella bakal muncul membuat persembahan di Konsert Jiwa Merdeka yang bakal diadakan Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada 7 September ini.
Antara artis yang bakal beraksi ialah Bunkface, Spider, Hujan, Ruffedge, Imsomniacks dan Dolla.-UTUSAN