'Saya anak kesayangan, bapa tidak pukul' - Utusan Malaysia

‘Saya anak kesayangan, bapa tidak pukul’

HALIMATON Saadiah Saad melawat kanak-kanak warga asing yang berjaya diselamatkan oleh pihak polis ekoran kejadian bunuh melibatkan ahli keluarganya di Alor Setar. -UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kanak-kanak lelaki Rohingya berusia lima tahun didapati masih trauma dengan kejadian bunuh membabitkan ibu dan dua adik-beradiknya yang berlaku di bangunan terbiar di Pekan Simpang Kuala, Lebuhraya Sultan Abdul Halim, di sini Ahad lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Perpaduan Kedah, Datuk Halimaton Shaadiah Saad berkata, kanak-kanak itu kelihatan trauma, namun masih mahu berbual dan bermain.

“Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memberi kaunseling kepada kanak-kanak itu. Kita akan menempatkannya di tempat selamat dan memastikan kebajikannya terjaga sepenuhnya,” katanya pada sidang akhbar bersama JKM Kedah, di sini semalam.

Kata beliau, berdasarkan pemerhatian, kanak-kanak terbabit didapati lebih gemar bermain berseorangan apabila diberi permainan dan tidak bertanyakan tentang keberadaan ibu bapa selain dia seperti berada di dalam dunia sendiri.

“Keadaannya baik tanpa kecederaan, cuma ada sedikit kecederaan lama pada pipi. Dia juga beritahu dia merupakan anak kesayangan bapa dan tidak dipukul,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, kanak-kanak itu kini di bawah jagaan pelindung JKM dengan langkah penyelamatan itu dilakukan di bawah Seksyen 17(1)(i) Akta Kanak-kanak 2001.

“Ia selaras Perkara 19 iaitu perlindungan daripada penyalahgunaan dan pengabaian serta Perkara 20 iaitu  perlindungan kanak-kanak tanpa keluarga.

“JKM kemudian akan membawa kanak-kanak terbabit ke mahkamah untuk mendapatkan perintah jagaan sementara, selain mengenal pasti waris kanak-kanak itu,” jelasnya.

Kata beliau, pihaknya ada menerima panggilan daripada beberapa individu daripada komuniti Rohingya bertanyakan khabar kanak-kanak itu dan menyatakan hasrat untuk menjaganya.

“Kita galakkan jika ada waris atau saudara mara yang mahu bertemu dan menjaga kanak-kanak ini agar tampil dan membuat permohonan ditetapkan. Bagi kanak-kanak pemegang kad Suruhanjaya Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR), kita tidak boleh buat sistem pengangkatan anak angkat,” katanya.

Tambahnya, beliau percaya kejadian itu berlaku disebabkan tekanan hidup kerana keluarga berkenaan hidup gelandangan selain isu penyalahgunaan dadah.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan seorang lelaki Rohingya berusia 43 tahun bertindak kejam apabila mengelar leher isteri berusia 34 tahun serta dua anak berusia dua dan 10 tahun sehingga mati.

Mayat isteri dan anak perempuan berusia 10 tahun ditemui di dalam longkang belakang bangunan terbiar itu, manakala mayat kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang dibuang ke dalam longkang di Jalan Pegawai, di sini didapati hanyut sebelum terdampar di Pantai Leman, Kuala Kedah.

Sementara seorang lagi anaknya berusia lima tahun ditemui selamat bersama suspek ketika dia ditahan di Masjid Al-Hidayah di Bukit Pinang, di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN