Sarang burung bernilai RM1.57 juta gagal diseludup ke Malaysia

9 guni sarang burung bernilai RM1.57 juta gagal diseludup ke Malaysia

NORLELA Ismail menunjukkan barangan rampasan cubaan menyeludup sarang burung selepas sidang akhbar di Bangunan Pentadbiran AMC, KLIA. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menggagalkan cubaan pihak tertentu menyeludup sarang burung dari Indonesia untuk pasaran tempatan.

Kejayaan tersebut dicapai hasil rampasan oleh Bahagian Penguatkuasaan JKDM Unit III (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur – KLIA) Zon Tengah pada 31 Julai lalu.

Menurut Penolong Ketua Pengarah, Norlela Ismail, pemeriksaan pihaknya menemui sembilan buah guni dengan berat kasar 196 kilogram di dalam gudang Ground Team Red (GTR), Free Commercial Zone (FCZ), KLIA Kargo pada pukul 6.15 petang.

“Dagangan sarang burung ini diimport masuk ke dalam Malaysia dari sebuah negara jiran tanpa memiliki permit import yang sah.

“Nilai barang yang dirampas dianggarkan sebanyak RM1,576,000 dan melibatkan cukai sebanyak RM78,800,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Selain itu ujar Norlela, sindiket dipercayai menggunakan alasan penghantaran ke luar negara untuk sarang burung tersebut jika dagangan tersebut ditahan oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan satu lagi kejayaan JKDM Unit III Zon Tengah yang merampas 322,000 batang rokok putih dalam 46 master case bernilai RM32,000 dengan duti cukai RM215,740 pada 9 Julai lalu.

“Ia dimuatkan dalam empat pallet dagangan yang mengandungi sejumlah pakaian dari Korea Selatan di gudang MASKargo Zon Perdagangan Bebas KLIA Kargo,” tambahnya.

Katanya kedua-dua kes berkenaan, disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1957. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN