Satu daripada hakikat yang tidak dapat dinafikan, sebenarnya, tidak ramai benar-benar dapat memahami tindakan dan keputusan penyanyi yang popular dengan lagu Hi Hi Bye Bye ini yang terbuka memilih untuk hidup bermadu.
Mendirikan rumah tangga dengan Wan Mohd Hafizam sejak empat tahun lalu, Ezlynn atau nama sebenarnya, Azline Ariffin,42, bagaikan seorang perempuan yang ‘gila’ kerana dengan rela hati membenarkan suaminya berkahwin satu lagi.
Bahkan, ‘gilanya’ Ezlynn, dia juga dengan gembiranya menyatakan kepada semua pihak bahawa dia tidak kisah andai suaminya itu mahu mencukupkan kuota empat orang isteri dengan dirinya sendiri rela bertemu dan meminang wanita pilihan suaminya sekiranya lelaki itu mahu.
Malah, Ezlynn juga tidak malu berkongsi perasaanya dan kehidupannya sebagai seorang isteri yang punyai madu, menjadikan ramai menganggap penyanyi ini seolah-olah ‘terpaling’ berpoligami.
Sedar bahawa dirinya tidak lepas daripada cakap-cakap belakang orang, wanita berasal Ulu Kinta, Perak ini mengakui, dia tidak dapat menghalang persepsi orang lain terhadap diri dan kehidupannya.
“Ya, saya tahu, ada persepsi pelbagai. Ada yang boleh terima dan ada yang tidak. Itu memang betul. Tetapi bagi saya, yang hidup di dalam situasi itu adalah saya. Walau macam mana pun awak bercakap tentangnya, saya yang hidup di dalamnya.
“Satu yang saya kongsikan, mungkin ramai tak tahu yang saya ini sebenarnya sudah macam pakar kaunseling buat isteri-isteri pertama dan kedua. Kalau nak tahu, ramai yang mesej saya secara peribadi dan ceritakan mereka punya situasi sebagai wanita yang ada madu.
“Saya pula biasanya akan terbuka kongsikan pengalaman atau apa sahaja yang boleh saya bantu, sampai tahap macam itu,”katanya ketika ditemui pada majlis santai filem Dua Surga Dalam Cintaku di Hotel Sri Pacific Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Berbicara lanjut, kata Ezlynn, dia tidak kisah dengan segala macam kata orang kerana cukup sedar apa yang dilakukannya ini semata-mata demi mencari reda dan syurga Allah SWT.
“Bagi saya, Allah Yang Satu. Hanya Dia. Kalau dalam hati kita sentiasa menyebut Allah, tiada apa yang buruk akan berlaku pada diri kita. Saya tahu orang berkata tentang saya dan isu poligami ini, tetapi ada saya kisah?
“Saya ada Allah! Itu jawapannya. Saya sentiasa mahu taat kepada-Nya. Kalau ia (poligami) bagus, saya akan tetap kuatkan hati walaupun orang cakap macam mana sekali pun, siapakah anda?”katanya.
Luah Ezlynn lagi, dia yakin apabila segala urusannya diserahkan kepada Yang Maha Esa, hidupnya akan menjadi lebih tenang.
“Sebabnya, Allah yang berikan kita rezeki, Dia berikan kita nafas setiap hari, pendek kata Dia yang berikan segala-galanya. Malulah saya jika tidak dapat menegakkan agama-Nya.
“Apabila kita serah semuanya kepada Allah, hubungan saya dengan suami di dunia ini pun kita tak tahu sampai mana Dia berikan rezeki itu, sebab yang kekal hanyalah di sana (akhirat).
“Jadi saya ini memilih untuk ke sana. Apabila saya tak fikir dah tentang dunia, jadi apa-apa yang di sini (dunia), tak ada apa,”katanya.
PUJI SUAMI
Dalam asyik bercerita mengenai kehidupan bermadu, Ezlynn tidak lupa memuji suaminya itu yang disifatkan telah sempurna menjalankan tanggungjawabnya meski beristeri dua.
Kata Ezlynn, itu juga menjadi penyebab mengapa dia dengan mudahnya membenarkan suami berkahwin lain.
“Suami saya bagus. Bila kita buat baik dengannya atau buat perkara yang membahagiakannya, dia akan terus katakan begini,’ sayang, abang doakan awak dapat syurga Allah. Abang mahu awak masuk syurga dan memang layak masuk syurga’.
“Kalau awak sebagai seorang isteri, gembira tak dapat suami yang doakan begitu? Mestilah kita akan rasa bahagia bukan dan lagi nak berikan kebahagiaan itu kepada dia.
“Doa itu sahaja yang saya mahukan. Saya mahukan syurga Allah kerana Dia menjanjikan kita boleh memasukinya dengan mana-mana pintu. Saya mahu jadi isteri yang taat dengan suami dan mahu meraih redanya,”katanya.
Pun begitu, kata Ezlynn, bagi wanita lain yang tidak bersetuju dengan alam rumah tangga dengan kemanisan bermadu, sarannya, usah menyesakkan dan membebankan perasaan sendiri.
Malah, nasihat penyanyi ini, wanita yang tidak bersetuju hidup berpoligami perlu menyatakan perkara itu kepada suami masing-masing.
“Kalau awak tak boleh hidup berpoligami, awak kena cakap dengan suami mengenainya. Cakap yang awak tak boleh hidup bermadu sebab saya faham, tak semua boleh terima situasi ini.
“Tetapi jika awak boleh, suami pun pandai jaga hati, pandai pujuk dan dia pun menjalankan tanggungjawabnya dengan bagus dan betul dan membuatkan awak rasa seronoknya berpoligami, awak akan nampak manisnya berpoligami itu.
“Kalau awak rasa lebih dihargai jika hidup berpoligami, mengapa tidak? Tetapi, sekali lagi saya tegaskan, poligami ini bukan untuk semua orang.
“Tepuk dada tanya diri sendiri, bolehkah aku?”katanya menutup bicara.
Ezlynn mendirikan rumah tangga dengan Hafizam pada 11 September 2021.
Pada Mac 2024, suaminya itu kemudiannya mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita berusia 26 tahun yang bekerja sebagai seorang doktor.
Ezlynn sebelum ini, pernah mendirikan rumah tangga dengan bekas pengurusnya, Adam Fahmy pada 20 November 2011, namun bercerai pada 23 Oktober 2017.