Sambutan Hari Kebangsaan, Hari Malaysia terima tajaan RM4.09 juta

Sambutan Hari Kebangsaan, Hari Malaysia terima tajaan RM4.09 juta

FAHMI Fadzil bergambar bersama penajaan dari rakan strategik HKHM 2024 di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya pada 31 Ogos ini dan Hari Malaysia di Sabah pada 16 September depan (HKHM 2024) dijangka berlangsung meriah apabila menerima penajaan bernilai RM4.09 juta.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, penajaan diterima Jawatankuasa Penajaan Kementerian Komunikasi itu membabitkan tajaan bernilai RM2.03 juta dan RM2.06 juta lagi dalam bentuk perarakan HKHM 2024.

Beliau berkata, sumbangan penajaan itu diterima daripada 29 Rakan Strategik Emas dan Rakan Strategik Perak menerusi Jawatankuasa Penajaan Kementerian Komunikasi.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua rakan strategik Kementerian Komunikasi yang memberikan sumbangan penajaan tidak kira berapa pun nilainya, kecil atau besar, sedikit atau banyak, pihak kementerian terima dengan amat berbesar hati.

“Sesungguhnya, sumbangan anda amat bermakna kepada semua rakyat Malaysia dalam menyambut HKHM 2024,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan Oleh Rakan Strategik HKHM 2024 di sini, hari ini.

Katanya, sumbangan penajaan yang diterima dalam bentuk wang tunai akan disalurkan ke dalam Akaun Amanah Hari Kebangsaan yang digunakan bagi tujuan persiapan sambutan HKHM.

Fahmi berkata, sumbangan penajaan bagi barangan pula akan diedarkan dan diagihkan oleh Pasukan Sukarelawan Kementerian Komunikasi kepada orang ramai yang akan menghadiri sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya kelak.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, sambutan HKHM 2024 dijangka lebih meriah dengan pelbagai acara yang sekali gus meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.

Menurutnya, beberapa penambahbaikan dibuat bagi sambutan kali ini untuk keselesaan pengunjung termasuk jumlah kerusi lebih banyak dan capaian internet lebih baik.

“Jumlah pengunjung tahun lalu kira-kira 100,000 dan kita optimis jumlahnya bertambah tahun ini, kita sediakan tempat duduk lebih banyak dan skrin serta mod pengangkutan seperti teksi air selain boleh buat glamping.

“Insya-Allah sambutan lebih meriah tahun ini, masalah internet di lokasi sambutan tidak jadi masalah, boleh bagi liputan lebih baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN