KUALA LUMPUR: Kes saman yang difailkan ibu model Belanda, mendiang Ivana Esther Robert Smit yang ditemukan maut selepas terjatuh daripada sebuah unit kondominium, enam tahun lalu terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kerajaan Malaysia mungkin diselesaikan melalui mediasi.
Perkara itu dimaklumkan oleh Peguam Persekutuan, Mohd. Khairulhazman Ghazali sewaktu pengurusan kes itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain pada pengurusan kes itu di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.
Peguam Datuk S. N. Nair yang mewakili Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen tidak membantah cadangan itu dan menyatakan bahawa ia adalah ‘tawaran serius’ oleh pihak kerajaan dan pihaknya bersedia terbabit dalam proses berkenaan.
Roz Mawar kemudian mengingatkan Mohd. Khairulhazman bahawa kes saman itu sudah berlanjutan selama empat tahun yang mana tarikh perbicaraan sudah ditetapkan pada 14 Oktober ini dan saksi dari luar negara juga bersedia memberikan keterangan.
Bagaimanapun menjawab pertanyaan daripada mahkamah berhubung kesediaan kerajaan untuk proses mediasi itu dimuktamadkan dengan lebih awal, Mohd. Khairulhazman memberitahu, beliau hanya diarah menyampaikan cadangan kerajaan.
Mohd. Khairulhazman kemudian memaklumkan proses mediasi dijalankan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 23 hingga 27 September ini. Mahkamah kemudian menetapkan pada 30 September ini bagi pengurusan kes.
Christina memfailkan saman pada 20 November 2020 dengan menamakan Ketua Polis Negara (KPN), pegawai penyiasat, Asisten Superintenden, Faizal Abdullah, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga keempat.
Pada 21 April 2021, Mahkamah Tinggi di sini membatalkan saman Christina atas alasan pernyataan tuntutan wanita terbabit tidak mematuhi Perintah 18, Peraturan 7 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012. – UTUSAN