SABAK BERNAM: Daerah ini merupakan satu-satunya lokaliti yang pihak berkuasa tempatannya (PBT) masih berstatus majlis daerah di Selangor perlu memenuhi kriteria termasuk kawalan lebih 50 peratus kawasan perumahan untuk membolehkannya dinaik taraf sebagai majlis perbandaran.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) perlu memenuhi pelbagai kriteria yang ditetapkan oleh kedua-dua kerajaan negeri dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Menurutnya, bagaimanapun, Sabak Bernam masih jauh untuk mencapai tahap tersebut apabila sebahagian besar kawasannya merupakan luar bandar, namun ia mampu capai berdasarkan dasar semasa serta lonjakan terhadap pembangunannya.
“Cabaran bagi Sabak Bernam kerana mempunyai kawasan luar bandar yang besar, dari segi peratusan daerah itu belum lagi jadi kawasan yang boleh ada operasi dan pemantauan PBT atau mungkin terkeluar daripada ruang lingkup KPKT.
“Kalau keluar maknanya nilai hasilnya adalah sedikit, simpanannya sedikit dan sebagainya menjadi satu kitaran. Jadi kerajaan negeri kena memikirkan sesuatu untuk boosting (lonjakan) di sana antaranya dengan Pembangunan Wilayah Sabak Bernam (SABDA),” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Publisiti dan Penyertaan Awam Deraf Rancangan Tempatan MDSB 2035, hari ini.
Selangor mempunyai 12 PBT yang mana empat daripadanya berstatus bandar raya termasuk Majlis Bandaraya Diraja Klang yang baru diumumkan naik tarafnya pada Februari lalu, sementara tujuh berstatus perbandaran dan satu masih di peringkat majlis daerah.
Sebelum ini, PBT Kuala Selangor iaitu Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dinaik taraf daripada majlis daerah kepada majlis perbandaran diumumkan pada Ogos 2021.
Tambahnya, SABDA adalah contoh yang dilakukan kerajaan negeri untuk menarik lebih ramai orang termasuk pelabur datang ke daerah itu serta merungkai potensi-potensi di setiap kawasan di sana.
“Saya rasa boleh kalau kita bersungguh-sungguh dengan mood dan trend yang kita ada cuma ia perlukan satu boosting. SABDA sudah bermula tetapi belum lagi sampai ke tahap realiti jadi, saya rasa satu atau dua jadi dengan kuat, ia akan ada kesan lanjutan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan projek rel yang dicadangkan di bahagian utara negeri ini untuk menghubungkannya dengan jajaran di Lembah Klang akan diumumkan pada pembentangan belanjawan negeri 2025 nanti.
“Saya akan umumkan dalam bajet, apa langkah seterusnya kita supaya kita dapat merealisasikan projek tersebut.
“Paling tidak sampai ke Tanjong Karang, sampai situ pun orang Sabak Bernam boleh pergi ke Kuala Lumpur dengan separuh perjalananya menggunakan kenderaan sendiri dan separuh lagi dengan train.
“Jadi, itu antara perkara yang kita rancang, perancangan asalnya memang sampai ke Sabak Bernam tetapi bergantung kepada volume dan permintaan,” jelasnya. – UTUSAN