REMBAU: Seorang ibu tunggal di Kampung Titian Akar, Lubok China di sini bimbang dengan masa depannya selepas rumah pusaka yang didudukinya semakin uzur dan mereput.
Norsham Mustafa, 59, yang juga orang kurang upaya (OKU) pendengaran telah memohon bantuan daripada agensi berkaitan sejak awal tahun ini ekoran keadaan rumahnya itu.
Adiknya, Rozita, 57, berkata, rumah pusaka itu berusia lebih 60 tahun dan mereka lapan beradik tidak mempunyai kemampuan untuk membaik pulih rumah yang mencecah RM10,000.
“Sebelum ini kami kemas dan jaga rumah pusaka ini serta membuat beberapa pembaikan namun kini kosnya terlalu tinggi.
“Kakak saya yang merupakan anak keenam pulang ke kampung selepas kematian suami pada 2019 dan menetap di sini.
“Cuma awal tahun ini, rumah ini makin uzur dengan bocor pada atapnya selain perabung jatuh,” katanya ketika ditemui di kampung itu, semalam.
Rozita sangat berharap permohonan membaik pulih rumah pusaka itu dapat disegerakan atas faktor keselamatan kakaknya yang tinggal berseorangan selepas anak perempuan tunggal wanita itu tinggal di Johor.
Menurutnya yang tinggal bersebelahan dari rumah pusaka itu, sebelum memohon bantuan membaik pulih rumah dari Pejabat Daerah Rembau, pihaknya ada memohon bantuan dari Baitulmal.
“Bagaimanapun kos sebut harga yang kami ketengahkan daripada kontraktor begitu tinggi mencecah RM10,000 dan Baitulmal telah menyerahkan wang bantuan sebanyak RM1,500 bagi tujuan baik pulih tersebut.
“Wang berkenaan masih ada dan tentunya tidak mampu menampung kos sebenar baik pulih ini. Oleh itu, kami berharap agar agensi kerajaan yang lain mahupun individu berkemampuan dapat membantu membaik pulih kerosakan atap rumah pusaka ini,” katanya.
Orang ramai yang berhasrat membantu ibu tunggal berkenaan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional dengan nombor 01160 3029124860100013 di atas nama Norsham Mustafa. – UTUSAN