Rukun Negara bukan sekadar ideologi tetapi panduan setiap rakyat Malaysia

Rukun Negara bukan sekadar ideologi tetapi panduan setiap rakyat Malaysia

K. Saraswathy Kandasami (belakang tengah) bergambar bersama johan pertandingan melukis mural rukun negara dari SMK Putrajaya 5 (1) di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

PUTRAJAYA: Rukun Negara bukan sekadar ideologi, tetapi juga panduan yang harus dihayati dan diamalkan oleh setiap rakyat Malaysia.

Timbalan Menteri Perpaduan, K. Saraswathy berkata, bagi menyemarakkan perpaduan, penghayatan Rukun Negara perlu diterapkan lebih awal dalam sistem pendidikan negara.

Beliau berkata, ia haruslah diterapkan seawal peringkat pra sekolah seperti di taska dan tadika sehingga ke peringkat pendidikan pengajian tinggi.

“Kerajaan dan rakyat perlu menjalankan peranan masing-masing untuk memupuk perpaduan nasional bagi mencerminkan realiti Malaysia berbilang kaum, pelbagai agama dan budaya.

“Pada masa sama, kerajaan dan rakyat perlu bersama-sama mendukung Perlembagaan Persekutuan dan mempertahankannya kerana ia merangkumi kontrak sosial yang memberikan perlindungan untuk hak semua rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah Pertandingan Melukis Mural Rukun Negara Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 2024 dan Pelancaran Program Arkib@Sekolah di SMK Putrajaya Presint (5) 1, di sini hari ini.

Katanya, penganjuran program berteraskan perpaduan seperti Kelab Bahasa Sukuan dan Kelab Sejarah penting bagi memastikan setiap rakyat Malaysia memahami cita-cita dan Prinsip Rukun Negara.

Saraswathy berkata, pihaknya berterima kasih kepadab Arkib Negara Malaysia (ANM) yang menggerakkan usaha penganjuran pertandingan ini.

Menurutnya, pertandingan ini diadakan bagi memupuk semangat patriotisme dan memperkukuhkan lagi penghayatan terhadap prinsip-prinsip Rukun Negara.

“Arkib Negara berperanan penting sebagai penjaga khazanah sejarah dan ejen perpaduan masyarakat melalui pelbagai inisiatif yang dijalankan,” katanya.

Katanya, penghayatan Rukun Negara melalui infografik mural adalah satu inisiatif bagi menyemai dan memperkukuh semangat patriotisme dalam kalangan murid.

Terdahulu pada program sama, Saraswathy menyampaikan hadiah bagi pemenang Pertandingan Melukis Mural Rukun Negara Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 2024.

Tempat pertama dimenangi SMK Putrajaya Presint (5) 1 diikuti SMK Maxwell ditempat kedua dan SMK Putrajaya Presint 14 (1) ditempat ketiga manakala, tempat keempat pula dimenangi SMK St Anthony manakala serta tempat kelima disandang oleh SMK St Gabriel. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN