RM6 juta kos baik pulih padang hoki sintetik

RM6 juta kos baik pulih padang hoki sintetik

Kerja-kerja membaik pulih padang hoki sintetik di Taman Megah di sini, yang mengalami kerosakan dan terbiar sejak 2017 dijangka menelan belanja RM6 juta.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Kos bagi kerja-kerja membaik pulih padang hoki sintetik di Taman Megah di sini,  yang mengalami kerosakan dan terbiar sejak 2017 dijangka menelan belanja RM6 juta.

 

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pontian (MPPn), Ab. Razak Khalid berkata, pihaknya tiada  kemampuan untuk membiayai kos tersebut.

 

Bagaimanapun katanya, perkara tersebut masih dalam perbincangan dengan beberapa pihak sama ada kekal sebagai padang hoki atau berubah kepada padang futsal berdasarkan maklum balas yang perolehi.

 

“Kami juga menerima rayuan daripada Persatuan Hoki Daerah Pontian (PHDP)  supaya lokasi tersebut kekal sebagai padang hoki bagi kegunaan awam termasuk pelajar-pelajar sekolah.

 

“Jika ingin kekal sebagai padang hoki, kita terpaksa memohon peruntukan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menanggung kos kerja-kerja baik pulih tersebut,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melepaskan konvoi 40 motosikal ke Muar yang diketuai oleh Ketua Whip MPPn, Md. Israk Abdullah di Taman Nilam, di sini, pagi ini.

 

Akhbar Kosmo sebelum ini melaporkan mengenai nasib padang hoki sintetik Taman Megah yang yang terbiar sejak tahun 2017 dan hanya  mampu digunakan bagi tempoh 10 bulan selepas siap dibina dengan kos RM1.5 juta.

 

Sebelum itu ketika lawatan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Johor, Mohd. Hairi Md. Shah pada 16 November tahun lalu, beliau  menyerahkan kepada MPPn untuk membuat keputusan.

 

Tambah Ab. Khalid, bagaimanapun pihaknya belum dapat memberikan kata putus mengenai kedudukan padang hoki  sintetik Taman Megah dan masih memberikan ruang perbincangan seterusnya.

 

“Kita masih terbuka dengan perbincangan dengan pihak-pihak berkenaan  termasuk pihak persatuan hoki yang merayu supaya MPPn dapat membantu mencari jalan penyelesaian,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN