Jambatan runtuh akibat kepala air, penduduk Muallim putus bekalan

Jambatan runtuh akibat kepala air, penduduk Muallim terputus bekalan air, elektrik

SAARANI Mohamad meninjau lokasi runtuhan Jambatan Slim River-Behrang Ulu, di Slim River hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Ribuan penduduk di daerah Muallim terputus bekalan air dan elektrik berikutan kejadian kepala air dan loji rawatan air pecah di Slim Village, Slim River di sini hari ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, gangguan bekalan air berlaku sejak semalam melibatkan 70 peratus daripada keseluruhan 12,000 pengguna air berdaftar.

Katanya, perkara itu berlaku berikutan muka sauk loji rawatan air Sungai Geliting di Ulu Slim pecah dan kerosakan pada paip utama akibat jambatan runtuh.

“Difahamkan, gangguan bekalan air itu melibatkan kira-kira 10,000 akaun pengguna dan Lembaga Air Perak (LAP) telah mengambil tindakan awal dengan membawa lori tangki untuk bantuan kepada penduduk,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau Jambatan Lama Sungai Slim yang runtuh, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Ir Zamri Mat Kasim dan Pengurus Besar LAP, Ir Lokman Abd. Rahim.

Menurut beliau, memandangkan keadaan loji utama telah pecah, LAP akan menggunakan muka sauk loji rawatan kedua di Sungai Slim yang berperanan sebagai loji simpanan bagi tujuan pembekalan air kepada penduduk.

Bagaimanapun katanya, proses itu akan melibatkan beberapa kerja baik pulih dan pemeriksaan agar loji berkenaan dapat digunakan sebaiknya.

“Loji sedia ada memang tidak boleh pakai kerana telah pecah, tetapi kita ada satu loji rawatan di Sungai Slim yang boleh diguna pakai.

“LAP akan mengambil tindakan segera untuk memulihkan bekalan kepada penduduk terlibat dan pada masa sama lihat semula apa yang patut kita lakukan kepada loji yang pecah itu,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN