Resorts World Genting sambut Hari Merdeka bersama anak Yatim

Resorts World Genting sambut Hari Merdeka bersama anak Yatim BRDB Rotary Children’s Residence Home

genting
Antara yang terlibat dalam Pertunjukan Fesyen Merdeka bertemakan “Ini Jiwa Kita” di Malay Village, First World Plaza, Genting Highlands.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENTING HIGHLANDS: Resorts World Genting (RWG) telah menganjurkan Pertunjukan Fesyen Merdeka bertemakan “Ini Jiwa Kita” di Malay Village, First World Plaza, yang menghimpunkan kanak-kanak dari Rumah BRDB Rotary Children’s Residence.

Persembahan dari kanak-kanak itu telah memukau penonton dengan pelbagai pakaian tradisional yang unik dan berwarna-warni, dihiasi dengan dekorasi rekaan mereka sendiri bertemakan kemerdekaan.

Sukarelawan Genting Green Generation (G3) RWG memainkan peranan penting dalam membantu kanak-kanak ini menambahkan elemen kreatif melalui hiasan tampalan dan perhiasan istimewa pada pakaian mereka.

Kerjasama ini menjadikan pertunjukan fesyen sebagai memori yang tidak dapat dilupakan. Sokongan dan bimbingan penuh ikhlas daripada sukarelawan G3 adalah program sukarelawan kakitangan RWG yang berdedikasi kepada penglibatan komuniti dan mempromosikan kelestarian.

Turut hadir dalam acara tersebut ialah Pengerusi Rumah BRDB Rotary Children’s Residence, Datuk Chan Kam Fatt; Naib Presiden Perhubungan Korporat dan Komunikasi Datuk Seri Kay Atisha Parasuraman dan Naib Presiden Eksekutif Hospitaliti dan Gaya Hidup serta Peter Dewey Foster.

Mereka turut menjadi  juri dalam Pertunjukan Fesyen Merdeka yang istimewa ini.

Parasuraman dalam ucapannya berkata, acara itu amat bermakna untuk memberi penghargaan kepada kanak-kanak yang merupakan sebahagian daripada kehidupan, serta menyediakan peluang untuk mempelajari dan meraikan kepelbagaian budaya Malaysia yang kaya dan berharga.

Pertunjukan fesyen ini menampilkan enam kumpulan kreatif iaitu Bunga Raya, Harimau Malaya, Jalur Gemilang, Rafflesia, Gunung Kinabalu, dan Keris, yang masing-masing mempersembahkan interpretasi unik mereka tentang Merdeka.

Kriteria penjurian memfokuskan pada reka bentuk  patriotik, penggunaan bahan dan warna yang inovatif, serta penjiwaan semangat Merdeka.

Tiga kumpulan terbaik dianugerahkan hamper makanan, manakala semua kumpulan yang menyertai menerima hadiah istimewa sebagai penghargaan terhadap usaha dan kreativiti mereka.

Selepas pertunjukan fesyen, kanak-kanak ini menikmati pengalaman menyeronokkan di Taman Tema Tertutup Skytropolis, di mana mereka berpeluang mencuba pelbagai permainan dan tarikan yang mendebarkan.

Sebagai kenangan istimewa daripada lawatan ke RWG, setiap kanak-kanak menerima beg cendera mata yang mengandungi set alat tulis dan buku nota.

Sementara itu. Kam Fatt melahirkan rasa terima kasih kepada Resorts World Genting atas penganjuran acara itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN