Resah 13 tahun Kampung Parit 9 Gambut 'diserang' lalat

Resah 13 tahun Kampung Parit 9 Gambut ‘diserang’ lalat

lalat
SAIFUL AZMI (kanan) menunjukkan lalat yang terperangkap pada pelekat lalat di rumahnya di Kampung Parit 9 Gambut, Sabak Bernam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Lebih 200 penduduk di Kampung Parit 9 Gambut di sini, hidup dalam keresahan akibat gangguan lalat yang dihadapi mereka sejak 13 tahun lalu.

Mereka mendakwa, jumlah lalat semakin bertambah sehingga penuh lantai rumah setiap kali ayam dibawa keluar dari ladang ternakan di kawasan tersebut.

Penduduk, Fazlina Zainal, 39, berkata, masalah yang berlaku sekian lama itu dilihat bertambah teruk sejak kebelakangan ini.

“Sewaktu musim ayam dikeluarkan daripada reban, lalat akan menghurung rumah penduduk dan mengganggu kehidupan seharian kami.

“Selain itu, kami terpaksa membeli kertas pelekat berharga RM2.80 yang hanya mampu bertahan selama sehari,” katanya ketika ditemui hari ini.

Tambah ibu kepada empat anak itu, dia turut bimbang jumlah lalat yang terlalu banyak akan menjejaskan kesihatan penduduk, jika ia masih berlarutan.

Bagi Saiful Azmi Suhood, 42, terdapat lebih 10 ladang dan reban ternakan ayam yang diusahakan di kampung itu masih menggunakan kaedah tradisional.

“Ladang ternakan itu sepatutnya dibuka di kawasan lebih jauh daripada penempatan penduduk.

“Jumlahnya kini semakin bertambah dan ia memberi kesan kepada penduduk untuk menjalankan urusan seharian,” katanya.

Penjual kuih, Siti Rohayu Kamarudin, 41, pula berkata, `serangan’ lalat menyebabkan dia terpaksa menghentikan sementara tempahan kuih sekali gus menjejaskan pendapatannya.

“Saya berharap pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera mengatasi isu lalat itu bagi menjamin keselamatan penduduk.

“Pihak berwajib perlu melakukan sesuatu agar wujud situasi menang-menang antara penduduk dan pemilik ladang,” ujarnya.

Sementara itu, Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) akan memberi maklum balas berhubung isu itu dalam tempoh terdekat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN