Remaja menyamar doktor guna kad pengenalan palsu- KKM

Remaja menyamar doktor guna kad pengenalan palsu – KKM

KEMENTERIAN Kesihatan didakwa menyisihkan pendapat pakar perubatan dalam isu program Parallel Pathway. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Remaja perempuan berusia 14 tahun yang bertindak menyamar sebagai pegawai perubatan di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS)
Serdang dilaporkan menggunakan kad pengenalan palsu bagi mengelakkan identiti dikenal pasti.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum berita mengenai remaja yang menyamar sebagai staf hospital itu.

Kata KKM, semalam pihak pengurusan HSIS menerima laporan mengenai tingkah laku mencurigakan seorang individu yang menyamar sebagai kakitangan di situ.

“Tindakan pantas pihak HSIS telah berjaya mengesan identiti individu terbabit dan laporan polis telah dilakukan.

“Siasatan awal mendapati individu tersebut telah menggunakan kad pengenalan palsu,” katanya sebentar tadi.

Mengulas lanjut, KKM memaklumkan, pihak polis juga telah berjaya menahan individu terbabit pada hari ini.

Katanya, kes itu masih di dalam siasatan dan pihak KKM akan memberi kerjasama penuh bagi membantu pihak polis.

Terdahulu, seorang remaja perempuan telah ditahan polis selepas dilaporkan menceroboh dewan bedah hospital selain mengaku sebagai pegawai perubatan dan mahu membantu menjalankan pembedahan.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, turut ditahan bersama suspek sehelai baju scrub, seluar scrub dan lanyard hak milik hospital berkenaan.

Beliau berkata, suspek ditahan susulan laporan dibuat kakitangan hospital berkenaan berkaitan seorang remaja perempuan tidak dikenali dalam dewan bedah yang mengaku sebagai pegawai perubatan.

Suspek juga akan dibawa ke Mahkamah Sepang esok bagi permohonan reman oleh pihak polis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN