MELAKA: Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, Prof. Datuk Dr. Ts. Mohd. Rasdi Zaini dianugerah Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk sebagai menghargai kepemimpinan cemerlangnya dalam mengangkat martabat universiti tersebut.
Koordinator Korporat UiTM Melaka, Dr. Mohd. Sufiean Hassan berkata, penghargaan itu diberi Sempena Sambutan Hari Jadi Ke-75 Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr. Mohd. Ali Mohd. Rustam di Balai Istiadat Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka, baru-baru ini.
Katanya, Mohd. Rasdi memacu UiTM Melaka ke arah transformasi yang signifikan termasuk penambahbaikan kualiti pengajaran, pengukuhan budaya penyelidikan, serta penglibatan aktif dalam pembangunan komuniti setempat.
“Fokus beliau memastikan kurikulum relevan dengan keperluan industri dan membantu melahirkan graduan yang lebih bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang semakin kompetitif.
“Beliau memperkenal inisiatif memperkasa fakulti dan kakitangan akademik melalui program latihan dan pembangunan profesional.
“Usaha ini berjaya menjadikan UiTM Melaka institusi disegani dengan reputasi kukuh dalam pendidikan berkualiti dan inovasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain Mohd. Rasdi, enam lagi warga UiTM Melaka turut menerima pengiktirafan atas sumbangan mereka dalam pelbagai bidang.
Selain itu, katanya, Mohd. Rasdi memainkan peranan penting dalam mengukuhkan budaya penyelidikan di UiTM Melaka, menyaksikan beliau berusaha memastikan kampus itu terus berada di barisan hadapan dalam inovasi dan penyelidikan yang relevan.
“Melalui kepemimpinannya, UiTM Melaka berjaya membina hubungan erat dengan industri dan kerajaan, membuka peluang kepada penyelidik dan pelajar untuk terlibat dalam projek yang mempunyai impak praktikal,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Rasdi dalam ucapannya berkata, beliau akan terus berusaha membawa UiTM Melaka ke tahap lebih tinggi.
“Saya berharap dapat terus menyumbang kepada masyarakat melalui pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat,” katanya. –UTUSAN