Re:Birth The Experience saksi kelahiran semula Dolla - Utusan Malaysia

Re:Birth The Experience saksi kelahiran semula Dolla

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bergerak sebagai trio tidak memberi halangan kepada tiga wanita ini untuk melakar sejarah baharu industri seni tanah air sebagai kumpulan wanita pertama Malaysia yang mengadakan konsert sendiri.

Kejayaan konsert sulung Dolla melalui Re:Birth The Experience membuktikan Dolla mampu untuk kekal utuh di persada musik tempatan dengan berjaya memukau lebih 2,400 peminat yang telah hadir pada malam itu.

Mempamerkan aksi yang luar biasa dengan di pentas Zepp, Kuala Lumpur baru-baru ini, Dolla berjaya menonjolkan bakat dan kesungguhan walaupun hanya meneruskan perjalanan bertiga selepas pengunduran Syasya Rizal.

Dolla yang kini dianggotai Angel, Tabby dan Sabronzo tidak menyangka akan konsert sulung ini akan mendapat sokongan peminat yang sangat luar biasa.

Mereka berpuas hati kerana persiapan dan latihan insentif berbulan-bulan akhirnya berbaloi apabila dapat menyajikan peminat dengan persembahan yang lincah dan memukau.

Salah seorang anggotanya, Tabby, mengakui tidak menyangka ramai peminat yang hadir pada malam itu dan menganggap bahawa konsert itu merupakan hadiah kepada semua peminat.

“Ini konsert pertama kami di Kuala Lumpur sebagai Dolla. Selepas empat tahun, kami berdiri di hadapan iDolla (kumpulan peminat) dengan konsert kami sendiri.

“Kami tidak sangka akhirnya dapat tunaikan impian ini. Kami tahu ramai peminat datang dari seluruh pelusuk Malaysia. Kami sayang kamu semua.

“Mendengar dedikasi peminat, kami jadikan konsert ini hadiah buat semua,” katanya.

Selain itu, Sabronzo turut menyatakan konsert pertama Dolla merupakan hasil kerja keras dan dedikasi mereka sejak mula bertapak dalam industri tempatan.

“Sejak 2020, kami harap ada konsert sulung. Apa yang dipersembahkan dianggap membuka mata kepada usaha yang sudah kami lakukan. Ini adalah masa untuk memperlihatkan dedikasi kami sebagai penyanyi.

“Kami sangat berterima kasih kepada semua pihak terbabit. Ini adalah pengalaman pertama yang saya tidak boleh dilupakan,” ujarnya.

TERIMA KASIH IDOLLAS

Dalam pada itu, dedikasi yang ditunjukkan oleh iDollaS sebelum konsert itu bermula membuatkan Artis Baharu Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular (ABP) ke-34 itu terharu dan bersemangat untuk memberikan yang terbaik kepada mereka.

“Kami dimaklumkan ramai iDollaS yang berkumpul di luar Zepp Kuala Lumpur seawal jam 12 tengah hari pada hari konsert itu.

“Mereka juga dikatakan mengadakan konsert sendiri di luar, ada yang menari dan menyanyi lagu kami.

“Kami sangat terharu dengan sokongan mereka untuk konsert ini. Selama ini mereka cukup teruja dan menunggu detik kami menjayakan konsert sulung,” kongsi Tabby lagi.

Membuka tirai pada jam 8.30 malam, Dolla memanaskan Zepp dengan lagu Bad, Fight dan Drip diiringi sorakan dan tepukan keterujaan peminat.

Persembahan kira-kira dua jam itu memperlihatkan Dolla mendendangkan rangkaian lagu mereka dengan tarian yang lincah dan hebat seperti Best Side, LAT, Damelo, Masa, Impikan, Sudi, Berani, Classic, Bo$$ Up dan Here 4U.

Syasya Rizal

Sementara itu, Sabronzo berkata, pengunduran Syasya Rizal daripada kumpulan itu memberi kesan emosi kepada ahli Dolla terutamanya ketika persiapan untuk konsert itu.

“Ketika sesi latihan, saya sudah terfikir perkara ini. Syasya sudah tidak lagi bersama kami selain tidak akan menjadi sebahagian perjalanan kami pada konsert ini.

“Rasa sedih kerana perbincangan mengenai konsert sudah kami rancang sebelum Syasya keluar Dolla lagi, tapi itulah hakikatnya.

“Kami bersyukur kami dapat jayakan konsert pertama. Kami berharap Syasya gembira melihat kami berjaya mengadakan konsert pertama,” kongsinya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN