KOTA BHARU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbuka untuk seluruh pegawai dan anggotanya disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya ada dalam kalangan mereka terlibat dengan aktiviti ‘makan suap’.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pada masa sama pihaknya sedia memberikan kerjasama dalam melancarkan kerja-kerja siasatan berkait salah satu berkenaan jika ia dikesan berlaku.
Menurutnya, beliau sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota yang terlibat dengan rasuah.
“Hubungan polis dengan SPRM sangat baik. Jika ada pegawai dan anggota yang terlibat dengan rasuah, kita tidak akan bertolak ansur,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pemangku Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner, Mohd. Ali Tamby menggantikan Datuk Muhamad Zaki Harun yang bersara wajib pada 31 Ogos ini di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.
Razarudin memberitahu, beliau mahu seluruh warga kerja PDRM mematuhi semua undang-undang yang ada di Malaysia serta peraturan Perintah Tetap Ketua Polis Negara.
“Saya mengingatkan kepada semua termasuk diri saya sendiri supaya bertunjanglah ke arah integriti dan tata kelola.
“Perkara tersebut perlu dijadikan landasan perkhidmatan bagi setiap warga PDRM untuk berkhidmat dengan terbaik kepada pasukan dan negara,” ujarnya. – UTUSAN