Rasuah MBSA: Pemilik syarikat pembersihan dipenjara sehari, denda RM30,000 

Rasuah MBSA: Pemilik syarikat pembersihan dipenjara sehari, denda RM30,000 

MOHAMMAD ZAKI (baju merah) dibawa anggota SPRM ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang pemilik syarikat perkhidmatan pembersihan dipenjara sehari dan didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan merasuah pembantu tadbir Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berkaitan notis tindakan kerja pembersihan, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Anita Harun menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohammad Zaki Jamian, 44, mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memberi suapan berjumlah RM3,500 melalui akaun bank Syarikat Gabungan Selatan Resources kepada seorang ejen kerajaan iaitu pembantu tadbir operasi MBSA.

Suapan itu sebagai upah tidak mengenakan tindakan Notice To Correct (NTC) bagi tuntutan bayaran Tawaran Semula Cadangan Perkhidmatan Pembersihan Gerai Majlis di Zon SA G12, Seksyen 24 (24A,24B & 24C) bagi September 2020 hingga Disember 2021.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah cawangan bank di sekitar daerah ini antara Oktober 2020 hingga Disember 2021.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan hukuman maksimum 20 tahun penjara dan denda tidak lebih lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.

Terdahulu, Mohammad Zaki yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan kerana mempunyai tanggungan isteri dan anak.

“Ini kesalahan pertama saya yang kini telah insaf dan amat menyesali perbuatan berkenaan.

“Selain tanggungan keluarga, saya diserang strok dua tahun lalu dan perlu menjalani rawatan perubatan setiap minggu,” katanya.

Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Alimi Mustapha memohon hukuman setimpal kerana kesalahan itu dianggap serius dan menjadi pengajaran kepada masyarakat.

Anita kemudian memerintahkan hukuman penjara sehari dan tambahan enam bulan sekiranya gagal membayar denda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya