PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam proses mengambil semula keterangan kakitangan dan ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat konsesi lebuh raya berhubung kes rasuah pembinaan dua projek lebuh raya di Lembah Klang bernilai RM1.6 bilion.
Satu sumber berkata, SPRM perlu memanggil individu-individu berkenaan termasuk CEO bergelar Datuk sekali lagi bagi mengukuhkan keterangan sebelum ini.
“Siasatan SPRM terhadap kes rasuah pembinaan dua projek lebuh raya masih berjalan.
“SPRM akan memanggil beberapa individu berkenaan sekali lagi bagi membantu siasatan itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, pembayaran rasuah yang diterima kakitangan termasuk CEO syarikat konsesi lebuh raya itu dipercayai secara tunai selain sebahagiannya dimasukkan ke akaun peribadi.
Ekoran itu, SPRM membekukan sebanyak 233 akaun bernilai lebih RM 95.93 juta.
Pembekuan itu melibatkan 173 akaun individu dan 60 akaun syarikat.
Tiga buah kereta turut disita SPRM bagi siasatan lanjut. Kesemua wang rasuah berkenaan diterima membabitkan dua projek lebuh raya bertingkat di Lembah Klang.
Selain itu, SPRM tidak menolak kemungkinan ada juga melibatkan projek lain iaitu projek projek pembinaan Lebuh Raya Lembah Klang Timur. Namun siasatan masih berjalan.
Pada 25 Jun lalu, SPRM menahan reman lapan individu termasuk CEO bersama dua pengurusan tertinggi syarikat konsesi lebuh raya kerana dipercayai meminta dan menerima rasuah.
Rasuah lebih RM200,000 itu dipercayai diberikan kepada pegawai-pegawai badan berkanun sebagai balasan bagi mendapat kerja-kerja projek pembinaan lebuh raya yang sebelum ini dijalankan satu syarikat lain.
Mereka juga dipercayai turut memberi rasuah kepada pegawai-pegawai di sebuah syarikat konsesi lebuh raya untuk tujuan sama.
Siasatan awal SPRM mendapati, ada lantikan sub kontraktor tertentu dengan bayaran tinggi meskipun kerja membabitkan dua lebuh raya bertingkat di Lembah Klang itu disiapkan tahun lalu. – UTUSAN