KUALA LUMPUR: Penyanyi, Dafi Ismail, tidak berkecil hati dengan gurauan warganet yang memintanya mewakili Malaysia ke Sukan Olimpik LA 2028 untuk kategori Breaking (tarian).
Jelas Dafi atau Gadaffi Ismail Sabri, 36, dia merasakan usikan itu sebagai sesuatu positif menandakan kehadirannya masih diingati.
“Saya tahu mereka mengusik sahaja. Bagi saya publisiti buruk juga adalah sebuah publisiti.
“Selagi mereka masih mengingati dan menyebut nama saya, saya okay sahaja jika mahu kaitkan dengan apa-apa termasuklah Olimpik.
“Walau itu tidak akan berlaku sebab ramai sahaja penari profesional. Mengapa pula minta saya ke sana?,” katanya.
Dafi berkata demikian bagi mengulas mengenai komen wargamaya yang memintanya mewakili Malaysia untuk Sukan Olimpik di Los Angeles untuk 2028.
Bukan itu sahaja, peserta program realiti Akademi Fantasia (AF) musim kelima itu faham bahawa adat menjadi seorang pempengaruh tidak boleh cepat terasa hati.
“Bagi saya sebagai figura, kita tidak boleh terlalu sensitif. Anggap sahaja orang bergurau.
“Saya sendiri pun siap kongsikan komen warganet itu kepada keluarga. Mereka pun gelak,” jelasnya.
Tambahnya, alang-alang melancarkan single terbaharu bertajuk Hellooo! Dafi bercadangkan menghasilkan sebuah video tarian terbaharu.
“Saya memang minat menari. Saya tengah fikir sesuatu untuk persembahan lebih menarik,” jelasnya.
Terdahulu, Dafi tampil dengan single terbaharu berjudul Hellooo! karya komposer Shazee Ishak dan penulis lirik, Altimet.
Kali terakhir, pelakon itu mengeluarkan single ialah Girl serta Sempurna pada 2016. -UTUSAN