Rakyat diajak sertai Himpunan solidariti bersama Palestin Ahad ini

Rakyat diajak sertai Himpunan solidariti bersama Palestin Ahad ini

Himpunan 100K Bela Palestin - Solidariti 'Raya Bersama Gaza' di Jalan Tun Razak baru-baru ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seluruh rakyat Malaysia diajak untuk menyertai himpunan solidariti bersama Palestin yang akan dianjurkan di Axiata Arena, Bukit Jalil, ibu negara pada Ahad ini bermula pukul 8 malam.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam sebagai tanda untuk semua pihak menyatakan kebersamaan rakyat negara ini bersama rakyat Palestin.

Menurut Fahmi, penganjuran himpunan itu juga mempunyai kaitan dengan pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran, Iran semalam.

“Rakyat Malaysia dijemput hadir dan ini akan melibatkan (semua pihak), kita akan buka ruang ini untuk semua pihak memberikan solidariti.

“Kita harap ini akan menjadi satu signal yang jelas kepada masyarakat antarabangsa bahawa pendirian rakyat malaysia dalam isu Palestin tidak berubah dan kita akan terus bersoildariti bersama rakyat Palestin,” katanya dalam sidang akhbar mingguan pasca mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin negara dijadual hadir pada perhimpunan terbabit, selain menjemput Senator dan Ahli Dewan Rakyat tanpa mengira parti politik.

Pada 24 Oktober tahun lalu, kerajaan pernah mengadakan himpunan sama yang dihadiri lebih 15,000 rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai latar belakang, agama dan bangsa.

Dalam kenyataan semalam, mesyuarat Jemaah Menteri mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan bekas Perdana Menteri Palestin itu dan menggesa siasatan segera dilakukan agar pihak yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan tersebut dibawa ke muka pengadilan.

Malaysia sangat terkejut dan marah dengan insiden pembunuhan Ismail yang menunjukkan masyarakat antarabangsa gagal memperjuang dan memastikan keamanan serta keadilan ditegakkan.

Anwar ketika menyampaikan ucapan takziah Malaysia kepada Ahli Biro Politik Hamas, Dr. Bassem Naim berkata, pembunuhan Ismail jelas berunsurkan sabotaj bagi menggagalkan rundingan gencatan senjata yang sedang diusahakan.

Kata beliau, berdasarkan perbualan dengan pertemuannya dengan Ismail sebelum ini, jelas menunjukkan bahawa sosok itu merupakan tonggak utama memperjuangkan nasib rakyat Palestin.

Sementara itu, Fahmi berkata, kerajaan menghantar Malawakil di Qatar untuk menghadiri majlis pengebumian Ismail.

“Jemaah Menteri tidak dapat menghantar wakil ke pengebumian Ismail kerana ia diadakan hari ini, tak sempat.

“Difahamkan pengebumian akan dilakukan di Qatar dan Malawakil akan hadir mewakili pihak kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN