Proton X50 2024 kuasai pasaran SUV tempatan - Utusan Malaysia

Proton X50 2024 kuasai pasaran SUV tempatan

PROTON X50
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton X50 2024 mendapat sambutan memberangsangkan apabila mencapai angka jualan sebanyak 2,585 unit pada Julai, bulan pertama jualan penuh kenderaan utiliti sukan (SUV) premium segmen B itu.

Ini adalah prestasi terbaiknya pada 2024, membolehkan ia kembali menjadi pemimpin kelasnya dan mengukuhkan statusnya sebagai SUV kompak kegemaran Malaysia.

Walaupun menghadapi persaingan sengit daripada pesaing baru dari Jepun dan China, model ini berjaya memperoleh pegangan pasaran sebanyak 10.3 peratus dalam segmen SUV dari Januari hingga Jun 2024. 

Model ini telah melebihi kenderaan lain dalam segmen pasaran yang sama dan menonjolkan kepercayaan pelanggan terhadap tawaran Proton.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, jualan model yang dikemas kini terus berkembang disebabkan oleh permintaan pengguna yang semakin kuat, dengan ciri-ciri canggih dan sokongan rangkaian menjadi faktor utama yang menarik minat pembeli.

Beliau menyatakan prestasi jualan pada bulan Julai untuk SUV premium segmen B mencerminkan usaha dan dedikasi seluruh pasukan, yang telah mendengar maklum balas pelanggan dengan teliti.

“Gabungan prestasi, keselamatan dan kesinambungan model ini terus menarik minat pelanggan kami, memenuhi keperluan mereka. 

“Pada masa yang sama, Proton telah melakukan penambahbaikan dalam pengeluaran tempatan dan penambahbaikan berorientasikan pelanggan telah memastikan Proton X50 kekal di hadapan,” katanya dalam kenyataan.

Kemas kini yang penting untuk Proton X50 2024 adalah penambahbaikan dilakukan untuk mengurangkan bunyi, getaran, dan kekasaran (NVH) serta meningkatkan keselesaan pemanduan secara keseluruhan.

Walaupun bahagian visual serupa dengan model sebelumnya, penambahbaikan yang ketara amat dihargai oleh pemandu yang menaik taraf daripada sedan keluarga segmen B lebih kecil.

Sistem infotainmen juga telah dinaik taraf dengan paparan 10.3 inci yang kini menjadi standard di seluruh rangkaian, dan perkakasan baharu dipasang untuk meningkatkan masa mula dan masa memuat, serta dilengkapi dengan telematik melalui aplikasi Proton Link.

Selepas memperoleh maklum balas daripada pelanggan, sistem kamera 360 darjah juga telah dinaik taraf dan kini menampilkan paparan ‘3D Live Feed’ untuk memberikan bantuan pengendalian yang lebih baik.

Sementara itu, varian Flagship dan Premium kini dilengkapi secara standard dengan pintu belakang elektrik yang sebelum ini merupakan ciri pilihan.

Memandangkan prestasi jualannya yang kukuh, tiada kejutan untuk mendapati bahawa Proton X50 2024 telah memberi kesan kepada pelbagai demografik dan menarik perhatian pembeli lelaki dan wanita secara sama rata.

Lebih 60 peratus pelanggan berumur antara 26 hingga 50 tahun, menunjukkan daya tarikannya kepada profesional muda dan mereka yang berkeluarga.

Maklum balas awal daripada pembeli menunjukkan bahawa mereka berpendapat reka bentuk model itu sesuai dengan keperluan, dengan saiz yang tepat sama ada untuk pasangan dengan anak muda ataupun individu bujang yang menjalani gaya hidup aktif. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya