PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan proses mengambil keterangan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sepatutnya berlangsung hari ini ditangguhkan esok.
Beliau memberitahu Utusan Malaysia, keterangan itu akan dirakam di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di sini pukul 11 pagi.
“Peguam kepada beliau (Muhyiddin) maklum untuk ditangguhkan esok pukul 11 kerana dia masih berada di Thailand,” katanya.
Terdahulu, polis mengesahkan akan merakam keterangan Muhyiddin di pejabatnya hari ini.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan.
Sebanyak 30 laporan polis diterima berhubung ucapan yang didakwa menyentuh isu 3R (agama, bangsa dan institusi diraja) ketika berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Sebelum ini, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan terkilan atas tindakan Muhyiddin yang dilihat secara sengaja dan sinis mempertikaikan peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16. – UTUSAN