Projek Rintis Pembajaan Tepat tarik belia jadi pesawah

Projek Rintis Pembajaan Tepat tarik belia jadi pesawah

AZMAN Mahmood menunjukkan taburan purata hasil kawasan jelapang padi ketika sesi temubual berkenaan projek rintis pembajaan tepat jelapang padi di Wisma Tani, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Walaupun baru dilancarkan secara projek percubaan pada awal Julai lalu, Projek Rintis Pembajaan Tepat sudah menarik minat golongan belia bagi menjadi pesawah.

Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Azman Mahmood berkata, penanaman padi berasaskan kemahiran teknologi moden itu membabitkan aplikasi Internet-of-Thing terutama aspek pengendalian dron untuk pembajaan.

Beliau berkata, sebelum pelaksanaan projek tersebut, tinjauan KPKM mendapati lebih 60 peratus petani yang terlibat dikenal pasti berusia 60 tahun ke atas.

Inisiatif baharu KPKM itu dengna peruntukan RM100 juta melibatkan Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu dengan pesawah yang dipilih tidak mengeluarkan kos kerana ditanggung kerajaan.

Seramai 8,718 pesawah daripada empat negeri berkenaan meliputi 20,371 hektar sawah menjadi kumpulan perintis kepada usaha bagi melonjakkan lagi bekalan beras tempatan.

Langkah penggunaan pesawat tanpa pemandu itu ujarnya, turut membantu mereka dalam mengurangkan kebergantungan pekerja asing yang dibayar upah mengikut tempoh jam.

Waktu bekerja di lapangan juga kata beliau, lebih pendek dengan purata hanya empat jam sehari masing-masing dari pukul 7 pagi hingga 9 pagi dan dari 4 petang hingga 6 petang.

Kawasan liputan sawah kata Azman, lebih luas dengan petani tidak mengeluarkan belanja berbanding kaedah pembajaan tabur biasa yang boleh mencecah kos RM220 sehektar.

KPKM jelasnya, menyasarkan hasil tuaian yang meningkat selepas enam bulan projek itu namun keberkesanan secara keseluruhan hanya dapat dilihat ketara selepas dua tahun.

“Kita memerlukan empat kali musim tuaian sebelum projek ini boleh diperluaskan lagi ke seluruh negara kerana setiap lapangan sawah memiliki keadaan tanah berbeza,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN