PUTRAJAYA: Program Kembara Merdeka yang dianjurkan sempena Bulan Kebangsaan 2024 menjadi platform terbaik menyemarakkan semangat patriotisme dan rasa cinta kepada negara dalam kalangan komuniti desa.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, pasukan kembara disertai 150 orang itu memulakan konvoi sembilan hari bermula 12 Ogos lalu.
Beliau berkata, konvoi itu berjaya merentasi 11 negeri di Semenanjung sejauh 1,545 kilometer (km) dengan membawa bendera Jalur Gemilang.
“Dengan menjadikan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Melaka sebagai garis permulaan, tujuan utama kembara ini adalah untuk menyampaikan mesej perpaduan dan taat setia serta cinta kepada tanah air.
“Program ini adalah bukti komitmen warga KKDW (Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah) untuk memperkukuhkan lagi ikatan persaudaraan dan semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat desa,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian penutup program Sentuhan Kasih Desa MADANI KKDW di sini semalam.
Katanya, program kembara itu perlu diteruskan agar dapat memberikan manfaat kepada komuniti desa selaras hasrat Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Rubiah berkata, aktiviti Bulan Kebangsaan 2024 KKDW turut diserikan dengan pelbagai program lain yang bertujuan membuka ruang dan peluang untuk komuniti bersama-sama mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang kreatif serta inovatif.
Menurutnya, antara program yang diadakan adalah jualan usahawan di Dataran Gemilang di Precint 4 di sini, pertandingan motosikal kapcai Merdeka, demonstrasi pasukan keselamatan dan seminar keusahawanan.
“Program Eksporasi Desa diadakan bagi mengukuhkan aktiviti ekonomi dan keusahawanan dalam kalangan komuniti usahawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (KEMAS) yang produktif dengan penyertaan seramai 75 usahawan menyertai aktiviti jualan selama empat hari bermula 16 Ogos lalu,” katanya.
Katanya, program itu turut disertai 200 kanak-kanak bertujuan mendedahkan generasi muda itu tentang tanggungjawab serta amanah sebagai warganegara dan pentingnya menjaga keharmonian serta kestabilan negara. – UTUSAN