Program empowerNCER Akademik lonjak keputusan SPM 2023

Program empowerNCER Akademik lonjak keputusan SPM 2023

MALEK Abu Hassan bersama-sama Suhaila Mohd. Nazer dan Prof. Madya Dr. Fakhrul Anwar Zainol bergambar dengan kesemua pelajar cemerlang Program empowerNCER Akademik dalam Majlis Aspresiasi Pelajar SPM 2023 di Universiti Antarabangsa Al Bukhary (AIU), Alor Setar. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Program empowerNCER Akademik anjuran Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) meraikan seramai 2,600 pelajar tingkatan lima dari Kedah dan Perlis dalam Majlis Apresiasi Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023, baru-baru ini.

Majlis itu bagi menghargai pelajar yang cemerlang selain memberi suntikan semangat kepada mereka untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Kesemua pelajar dari 64 buah sekolah itu menerima sijil masing-masing pada majlis yang diadakan di enam zon, 13 daerah seluruh negeri ini dengan 272 daripada mereka mendapat keputusan 5A dalam SPM 2023.

Turut dianjurkan adalah program Jelajah Hala Tuju Ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) bagi membantu pelajar memilih kursus untuk ke IPT.

Pelajar dan ibu bapa juga didedahkan mengenai agensi-agensi yang menawarkan biasiswa dan bantuan awal kemasukan ke IPT awam dan swasta agar mereka tidak tercicir.

Antara agensi yang membuka kaunter penerangan adalah Zakat Negeri Kedah, PTPTN, MARA, Institut Kemahiran Mara, UniSHAMS, UniSZA, Al Bukhary International University, Kolej Komuniti, Politeknik Malaysia dan Kolej Kemahiran Mara.

Turut serta, UniKL, UniTAR, Perdatech, Kulim Advanced Technology (KAT), Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), GiatMARA, IKBN, Kolej Vokasional, Universiti Malaysia Pahang (UMPA), Akademik Binaan Malaysia (ABM), Institut Kemahiran Mara (IKM), UniMAP dan Kolej KEDA.

Majlis itu diadakan di enam zon iaitu Zon I (Hotel Goldsands, Langkawi), Zon II (Dewan Mahsuri, Padang Serai bagi daerah Kulim dan Bandar Baharu), Zon III (Dewan SMK Putra, Perlis), Zon IV (Dewan Eksperimental UniSHAMS, Baling), Zon V (Dewan Konvokesyen Al Bukhary International University bagi daerah Kota Setar, Padang Terap, Kubang Pasu, Pendang dan Pokok Sena) dan Zon VI (Dewan Kenangan Sultan Abdul hamid MPSPK bagi daerah Kuala Muda, Yan dan Sik).

Bagi Zon I, majlis dirasmikan Pegawai Daerah Langkawi, Mohamad Subhi Abdullah; diikuti Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pembelajaran JPN Kedah, Malek Abu Hassan untuk Zon II dan Zon V, dan Ketua Penolong Pengarah Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) JPN Perlis, Badrul Azmi Abd. Rahman (Zon III).

Pegawai Daerah Baling, Yazlan Sunardie Che Yahaya merasmikan majlis di Zon IV sementara Ketua Penolong Pengarah (Sektor Pembelajaran) JPN Kedah, Munawir Azizan bagi Zon VI.

Turut hadir, Penolong Pengurus Besar NCIA Kedah dan Perlis, Suhaila Mohd Nazer; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UniSZA Holdings Sdn. Bhd., Prof Madya Dr. Fakhrul Anwar Zainol; Penolong Pengarah (Sektor Pembelajaran) JPN Kedah, Emir Hisham Hashim dan Pengurus Kanan, Jabatan Ekosistem Perniagaan NCIA, Zaila Yahaya.

Program empowerNCER Akademik itu dilaksanakan oleh UniSZA Consultancy Sdn. Bhd. (UCSB) menerusi Batch 3 – Pakej 1 tahun 2023 bagi Perlis dan 12 daerah di Kedah.

Ia direka secara komprehensif untuk meningkatkan pencapaian pelajar dalam peperiksaan SPM dengan kini telah memasuki fasa kedua.

Modul empowerNCER Akademik 2023 yang selaras dengan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) digarap oleh guru-guru cemerlang dan diterima baik oleh JPN.

Program yang mendapat sokongan penuh Kementerian Pendidikan Malaysia itu berjaya membantu pelajar keluarga B40 meraih keputusan cemerlang dan lonjakan SPM 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN