PRK Mahkota: BN alukan semua parti bantu kempen

PRK Mahkota: BN alukan semua parti Kerajaan Perpaduan bantu kempen

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan menggunakan pendekatan hibrid dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya mengalu-alukan seluruh parti komponen Kerajaan Perpaduan untuk membantu kempen.

Kata beliau, ia bagi memastikan pengundi bukan Melayu di DUN Mahkota juga turut berpihak kepada BN yang mewakili Kerajaan Perpaduan.

“Oleh kerana terdapat kira-kira 35 peratus daripada 66,000 pengundi di DUN Mahkota, terdiri daripada pengundi-pengundi keturunan Cina. Jadi kita menyantuni semua parti-parti di dalam gabungan Kerajaan Perpaduan untuk memobilisasikan jentera yang ada

“Untuk itu, ada segmen tertentu kita berikan kepada DAP dan ada segmen yang lain kita berikan pada MCA. Begitu juga, terdapat lebih kurang dalam 8,000 pengundi-pengundi India, ini kita minta MIC untuk menggerakkan jenteranya bersama-sama dengan kepimpinan dan ahli-ahli India di dalam PKR,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan walkabout di Program Eksplorasi TVE di Dewan Tun Hussein Onn dan Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia, di sini.

Terdahulu, media melaporkan, BN akan bertanding di PRK DUN Mahkota selepas PH bersetuju untuk memberi ruang kepada parti itu bertanding.

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu dicapai selepas mesyuarat kepimpinan tertinggi PH yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum ini, DAP mengumumkan untuk membantu kempen calon UMNO pada PRK Mahkota oleh kerana DUN tersebut berada di dalam Parlimen Kluang yang disandang oleh wakil rakyatnya, Wong Shu Qi.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, Allahyarhamah Sha­rifah Azizah yang juga calon mewakili BN memenangi kerusi DUN Mahkota dengan majoriti 5,166 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Taqiuddin Cheman yang memperoleh 11,445 undi.

Calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Nor Lingan pula me­raih 7,614 undi manakala calon Parti Warisan, Mohamed Noor Suleiman mendapat 555 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN