PRK DUN Nenggiri: Tekanan kepada Pas

PRK DUN Nenggiri: Tekanan kepada Pas

PAS perlu membuktikan masih mendapat sokongan rakyat di Nenggiri kerana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu adalah di bawah pentadbiran mereka. – utusan/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri adalah ‘ujian’ buat Pas kerana ia adalah sebuah kawasan di bawah pentadbiran parti itu.

Penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan berkata, Pas perlu membuktikan sokongan rakyat tidak berpaling tadah daripada mereka.

Kata beliau, Pas perlu memenangi Nenggiri dan lebih elok jumlah majoriti kemenangan tersebut meningkat berbanding pilihan raya lalu.

“Pemberat untuk Nenggiri ini sebenarnya lebih kepada Pas, bukan kepada UMNO. Jika kekalahan berlaku di pihak UMNO, ia tidak boleh menjadi ukuran yang UMNO tidak di­terima orang Melayu. Ini kerana perkara itu telah tercetus sebelum ini yang mana UMNO tewas di kerusi Nenggiri.

“Jika sebaliknya berlaku, ­iaitu UMNO menang di Nenggiri, ia boleh dikatakan sebagai satu kebangkitan atau sedikit sebanyak orang Melayu khususnya telah memberi kepercayaan kepada parti itu. Namun, pemberat adalah lebih kepada Pas, bagaimana caranya untuk mereka mengekalkan kerusi dengan majoriti lebih 800 undi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

PRK Nenggiri diadakan pada 17 ogos ini selepas Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah mengumumkan kerusi tersebut kosong pada 19 Jun lalu.

Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun lalu menerima notis bertulis mengikut Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu berhubunng keahlian ADUN Nenggiri, Mohd. Azizi Abu Naim yang hilang daripada Bersatu.

Susulan itu, Mohd. Azizi memfailkan injunksi sementara untuk menghentikan PRK DUN berkenaan sehingga saman pemulanya diputuskan. Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kemudian menolak permohonan injunksi terbabit.

Azmi berkata, UMNO perlu memikirkan strategi lebih berkesan yang boleh memberi kesan sekurang-kurangnya mengurangkan majoriti, sekali gus ia boleh dianggap pencapaian terbaik buat mereka.

“Paling kuat UMNO boleh lakukan adalah mengurangkan majoriti Pas, namun yang pentingnya adalah ia kayu pengukur buat Pas, sejauh mana rakyat konsisten menyokong parti itu kerana Nenggiri di bawah kawasan pentadbiran Pas,” kata beliau.

Dalam pada itu, penganalisis politik, Datuk Roslan Bian berkata, UMNO tidak patut kalah selepas mengambil kira faktor kesepaduan parti itu dan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan.
“Calon UMNO sepatutnya boleh menang di Nenggiri jika semangat Kerajaan Perpaduan wujud.

“Malah, UMNO perlu menang bagi menunjukkan kebangkitan semula parti itu di Kelantan. Ia juga memberi kesan di Peringkat pusat , dalam erti kata lain kemenangan ini dianggap UMNO boleh bangkit walaupun merangkak, asalkan akan bangun, kemudian berdiri kukuh seperti sebelum ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN