PUTRAJAYA: Sebagai menghargai sokongan luar biasa terutama dalam kalangan pencinta kucing, Adabi Consumer Industries Sdn Bhd menganjurkan acara larian, Powercat Pawfect Run For Fun yang berjaya menarik penyertaan sehingga 1,500 peserta.
Penganjuran acara larian kali keempat itu diadakan di Taman Botani Putrajaya pada Sabtu lalu memberi peluang kepada pihak penganjur untuk lebih dekat dengan pengguna setia semua produk Adabi selama 40 tahun, terutama produk makanan kucing, Powercat.
Aktiviti fun run ini dimulakan seawal pukul 7.30 pagi sejauh 5 kilometer sambil menikmati keindahan taman semulajadi di samping mengeratkan hubungan kekeluargaan dan menyihatkan badan.
Selain Fun run yang kali terakhir diadakan pada 2018 lalu, pelbagai aktiviti lain turut diadakan di bawah Karnival Pawfect yang dimeriahkan dengan kehadiran 3,000 pengunjung.
Para pengunjung turut diserikan dengan persembahan istimewa dari rakan Powercat, Alif Satar & The Locos pada kemuncak hari dan kehadiran kucing ‘King Oyen’ yang menambat hati peminat kucing.
Reruai jualan produk Powercat dan Adabi antara yang menjadi tumpuan apabila pengunjung berpeluang merasai sajian makanan dan minuman percuma menggunakan produk Adabi, selain ruang untuk vendor-vendor lain menyertai pameran dan jualan produk mereka seperti aksesori kucing, baju, makanan dan pelbagai manisan.
Aktiviti-aktiviti khas untuk kanak-kanak seperti lukisan muka, karikatur dan badut juga amat mengujakan golongan itu yang hadir bersama ibu bapa mereka.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Adabi Consumer Industries Sdn Bhd, Syed Mahadzir Syed Manshor, program larian ini adalah bertujuan mengumpulkan semua pencinta kucing dan sebagai tanda terima kasih kepada semua penyokong produk Powercat khasnya sejak 9 tahun lalu dan produk Adabi selama empat dekad bersama rakyat Malaysia.
Beliau berkata, produk Powercat sudah berkembang pesat di negara ini dan pihak Adabi mahu memperluaskan ke pasaran luar negara yang kini telah memasuki Filipina, Singapura serta Brunei dan tidak lama lagi akan menembusi pasaran Thailand, Vietnam dan United Kingdom.
“Kita mahu mengembangkan jenama Powercat ke pasaran antarabangsa untuk mengeksport ke negara luar sekali gus mampu menaikkan salah satu jenama Malaysia ke serata dunia.
“Nilai jualan Powercat adalah berjumlah RM60 juta setahun dan kita sasarkan pada tahun ini boleh mencecah sehingga RM100 juta melalui pasaran luar negara apatah lagi kita telah membuka syarikat di Vietnam,” katanya ketika ditemui pada program Powercat Pawfect Run For Fun di sini.
Syed Mahadzir memberitahu, selain produk halal makanan kucing kering dan basah, Powercat akan mengeluarkan produk baharu iaitu Cat treats yang dijangka pada hujung tahun ini.
Selain produk makanan, Powercat juga mempunyai jenama Powersand iaitu tempat pasir kucing, dan cat collar yang akan berada di pasaran tidak lama lagi.
Powercat adalah makanan kucing keluaran Adabi, iaitu sebuah syarikat bumiputera yang beroperasi di Malaysia selama 40 tahun. Powercat dilancarkan pada tahun 2015 dan dikilangkan sepenuhnya di Rawang, Selangor.
Produk Powercat terbahagi kepada dua kategori iaitu makanan kering dan makanan basah tanpa bahan pengawet, pewarna dan tiada garam tambahan yang sesuai dimakan untuk semua jenis kucing, bermula dari umur satu bulan.
Pawfect Run For Fun dan Karnival Pawfect ini tidak dapat dijayakan tanpa sokongan tanpa henti daripada pencinta-pencinta kucing di seluruh Malaysia dan kami sangat teruja untuk masa depan Powercat. – UTUSAN