IPOH: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual membabitkan seorang pekerja wanita sebuah bank di Taman Tasek Indera, Bercham dekat sini.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat aris berkata, pasukan siasatan telah pun mengambil rakaman percakapan mangsa dan suspek berusia 52 tahun yang didakwa terbabit dengan kes itu baru-baru ini.
Katanya, kertas siasatan kes berkenaan dibuka mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mengeluarkan perkataan bagi maksud mengaibkan kehormatan seseorang.
“Laporan berkaitan gangguan seksual ini dibuat mangsa yang bekerja sebagai kerani di bank berkenaan pada 16 Ogos lalu, pukul 7.17 malam.
“Mangsa berusia 38 tahun itu mendakwa diganggu secara seksual di tempat kerja oleh suspek yang juga pegawai operasi bank tersebut. Kejadian itu dilaporkan berlaku pada tahun 2021,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, pihaknya sedang melengkapkan siasatan kes berkenaan dan akan merujuk kertas siasatan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, mengulas mengenai piket diketuai Persatuan Kakitangan Pekerja Bank (NUBE) yang diadakan kelmarin bagi menuntut keadilan untuk mangsa, Azizi berkata, perhimpunan itu berjalan dengan aman tanpa kekecohan atau pergaduhan.
Menurut beliau, perhimpunan yang kini tular di media sosial itu dikatakan bertujuan untuk menyuarakan perasaan tidak puas hati atas kegagalan pengurusan bank mengambil tindakan ke atas kakitangan yang melakukan gangguan seksual terhadap mangsa.
“Polis memandang serius berkaitan perhimpunan yang diadakan itu dan menasihatkan orang ramai agar tidak melanggar mana-mana kesalahan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).
“Bagi mana-mana individu yang menjadi mangsa sebarang salah laku seksual di tempat kerja, mereka diminta tampil membuat laporan polis agar siasatan dapat dijalankan,” ujar beliau. – UTUSAN