Polis rakam keterangan empat individu kes tanam mayat bayi - Utusan Malaysia

Polis rakam keterangan empat individu kes tanam mayat bayi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis telah merakam percakapan empat individu bagi membantu siasatan penemuan mayat bayi yang tertanam di bawah lantai simen di pekarangan ruang letak kenderaan sebuah rumah di Taman Sri Rokam, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mereka yang dirakam percakapan itu termasuk pengadu yang menjumpai mayat bayi tersebut dan pemilik rumah.

“Setakat ini empat individu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan.

“Usaha kini dijalankan bagi mengesan saksi lain termasuk wanita warga asing yang merupakan penyewa terakhir kediaman itu,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu ditanya sama ada bayi perempuan itu telah meninggal dunia sebaik sahaja dilahirkan, beliau berkata hal tersebut masih belum dipastikan dan dalam siasatan pihaknya.

Bagaimanapun katanya, hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat bayi itu di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati punca kematian adalah ‘Unascertained Decomposition’ atau tidak dapat dipastikan kerana mayat sudah reput.

“Siasatan lanjut kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berdekatan,” ujar beliau.

Semalam, media melaporkan penemuan mayat bayi oleh penyewa iaitu seorang lelaki berusia 37 tahun ketika melakukan kerja-kerja pengubahsuaian sekitar pukul 11 pagi.

Ketika kejadian, lelaki itu dikatakan sedang mengorek simen di hadapan ruang tempat letak kereta di pekarangan rumah sebelum menjumpai cebisan kain sarung yang tertanam dalam tanah.

Lelaki terbabit kemudiannya menarik kain itu dan terkejut apabila menjumpai mayat kecil seperti bayi di sebalik kain berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN