KUALA TERENGGANU: Polis sedang menyiasat pemilik sebuah akaun Facebook yang didakwa menyentuh isu agama, kaum dan raja (3R) di media sosial, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, siasatan itu dilakukan selepas menerima laporan daripada Dewan Pemuda Pas negeri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, di sini, pada pukul 3.35 petang, semalam.
Beliau menjelaskan, laporan itu mengenai satu hantaran di Facebook menunjukkan seorang wanita berpurdah melakukan aksi melompat ke dalam kolam renang dengan kapsyen ‘Welcome to Afganu’.
Ujarnya, pengadu iaitu Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas negeri menganggap muatnaik yang dibuat atas nama akaun ‘Ryan Azzaro’ itu satu penghinaan terhadap agama Islam.
“Muat naik gambar tersebut dibuat dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) oleh suspek disyaki berkaitan larangan penyertaan atlet wanita Islam pada Sukan Malaysia (Sukma) baru-baru ini.
“Pengadu mengatakan tindakan melampau tersebut telah menyentuh sensitiviti agama dan bertentangan dengan kempen 3R yang ditekankan oleh pihak berkuasa dan kerajaan persekutuan,” katanya ketika dihubungi di sini , hari ini.
Azli memberirahu, polis akan meminta bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mencari pemilik akaun Facebook itu bagi meneruskan siasatan.
Tambahnya, kes disiasat Seksyen 504 Kanun Keseksaan (KK) sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Terdahulu tular di media sosial satu hantaran memaparkan seorang wanita berpakaian serba hitam yang menutup keseluruhan anggota badan sedang membuat aksi terjunan ke dalam kolam.
Hantaran itu disyaki ada kaitan dengan isu dua atlet wanita Terengganu yang beraksi dalam acara terjun di Sukma 2024 di Sarawak namun berada di luar pengetahuan kerajaan negeri. – UTUSAN