KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara terbuka menyelar sikap sesetengah pihak yang membantah pembinaan projek perumahan rakyat bagi kumpulan B40 dan M40 yang merupakan golongan majoriti khususnya di ibu negara.
Beliau berkata, kerajaan kerajaan tidak pernah menghalang mana-mana pembangunan di kawasan mewah, namun kepentingan majoriti rakyat tidak boleh diabaikan.
“Kehebatan mana-mana kota tidak hanya ditandai oleh mercu tanda yang hebat atau bangunan pencakar langit tetapi juga keselesaan kepada rakyat
“Tiap kali kita buat perumahan rakyat, ada saja bantahan. Termasuk Taman Desa ini, kawan-kawan saya ada teks (mesej), dia kata ganggu, macam mana dengan kebersihan.
“Ada kawasan-kawasan mewah yang nak dibangunkan, jangan kita halang. Itu bukan masalah, saya tidak anjurkan perseteruan mana-mana kumpulan.
“Tetapi jangan sekali-kali abaikan kepentingan majoriti rakyat. Sebab itu saya tekankan tentang rumah Madani dan beri tumpuan serta perhatian,” katanya pada majlis pecah tanah Residensi Madani membabitkan sebanyak 800 unit yang akan dibina oleh Mah Sing Group Bhd. (Mah Sing).
Projek di atas tanah berkeluasan 0.99 hektar itu membabitkan pembinaan dua blok berkeluasan 800 kaki persegi yang akan dijual pada harga RM200,000.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, kehebatan sesebuah bandar bergantung kepada keupayaan kerajaan melindungi kepentingan rakyat secara keseluruhan, tanpa mengira taraf dan status ekonomi mereka.
“Tidak boleh bangunkan kota yang memisahkan (golongan kaya dan miskin). Dulu saya tahu orang bangga, KL (Kuala Lumpur) ada Twin Tower (Menara Berkembar Petronas), tak ada masalah kalau ada wang, (boleh) buat.
“Tetapi bagaimana puluhan ribu (rakyat) yang tak ada rumah, kawasan sesak, bagaimana bangunan seperti Seri Perlis ini yang dibangunkan 50 tahun dahulu, satu bilik satu tandas dan anak enam?
“Boleh kita biarkan begitu, hal-hal ini yang harus kita teliti,” katanya
Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengarahkan supaya pembangunan projek perumahan mampu milik di ibu kota disegerakan bagi memenuhi permintaan tinggi khususnya golongan B40 dan M40.
Beliau berkata, pembangunan itu juga perlu memenuhi kriteria rakyat seperti kemudahan fasiliti termasuk aspek keselesaan.
“Kalau lengahkan kelulusan, kos rumah jadi lebih tinggi. Syarikat tidak akan rugi tetapi nak untung.
“Kos rasuah, kos bank semua akhirnya akan terbeban kepada pembeli. Negara tidak akan maju, kalau begini rakyat tidak akan terbela,” katanya. – UTUSAN