KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) terbuka untuk meneruskan kerjasama dengan UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) sepertimana terbina dalam Kerajaan Perpaduan.
Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hubungan PH, UMNO dan Barisan Nasional (BN) ketika ini berada di tahap yang sangat baik.
“Di peringkat ini, kerjasama kita memang sangat memuaskan. Jadi, untuk masa depan itu, kita masih buka ruang untuk berbincang secara baik,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Anwar ditemui selepas merasmikan Muktamar Masjid Se-Malaysia untuk Al-Aqsa dan Palestin (MM4AP) di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dan timbalannya, Dr. Zulkifli Hasan.
Terdahulu, semasa di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN tidak akan bergerak secara solo dalam PRU16 bagi mengelak pertembungan antara parti Kerajaan Perpaduan.
Bagaimanapun, katanya, BN akan kekal menggunakan lambangnya sendiri.
“Ini juga terlihat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota mengenai persetujuan kedua-dua belah pihak, iaitu menghormati di mana kerusi dipegang oleh sesebuah parti hendaklah diserahkan kepada parti berkenaan walaupun ada suara yang menuntut.
“Kita tidak bergerak secara solo, ertinya kita mesti bekerjasama tetapi menggunakan lambang kita sendiri,” katanya. – UTUSAN