ALOR SETAR: Pertunjukan udara oleh pesawat F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengujakan kira-kira 35,000 rakyat Kedah yang menyaksikan perarakan sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 di Dataran Medan Bandar, di sini hari ini.
Deruman enjin dan aksi udara empat pesawat TUDM berpangkalan di Butterworth, Pulau Pinang itu terbang dengan kelajuan 600 kilometer per jam pada ketinggian 304 meter selama 15 minit yang julung kali diadakan di negeri ini.
Lebih memukau, persembahan akrobatik tiga pesawat berkenaan yang diketuai Pegawai Memerintah No 18 Skuadron, Leftenan Kolonel Faizal Rahim melintasi pentas utama dalam formasi Echelon.
Pesawat berkenaan didatangkan khas ke ruang udara Kedah setelah melakukan pertunjukan udara di Dataran Istana Kehakiman Putrajaya sempena sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Nasional.
Sementara itu, perarakan turut disertai 142 kontinjen melibatkan 5,000 peserta dari jabatan serta agensi kerajaan, syarikat swasta, institusi pengajian tinggi, sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Turut dipamerkan adalah aset-aset pasukan keselamatan negara terutamanya Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Sambutan diserikan dengan keberangkatan Sultan Kedah, Sultan Sallehudin Sultan Badlishah dan Sultanah Maliha Tengku Arif bersama Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin serta Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.
Berangkat sama, Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin dan Tunku Puan Mahkota Kedah Che Puan Nur Julie Ariff. Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor serta isteri, Tok Puan Jusmalailani Jusoh dan barisan Exco turut hadir.
Pengunjung yang terdiri daripada pelbagai lapisan bangsa dan usia pula membanjiri dataran berkenaan seawal pukul 6.30 pagi untuk menyaksikan perarakan yang bermula sejak pukul 9 hingga 11 pagi. – UTUSAN