Persatuan nelayan diingatkan tidak terlibat seleweng diesel - Utusan Malaysia

Persatuan nelayan diingatkan tidak terlibat seleweng diesel

MUHAMMAD Faiz Fadzil (tengah) menyerahkan replika cek kepada wakil persatuan nelayan kawasan pada Program Ramah Mesra Madani Pengerusi LKIM di Chendering, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Persatuan nelayan di seluruh negara diingatkan tidak terlibat dalam aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi atau berdepan risiko dikenakan tindakan tegas.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan dan tidak akan teragak-agak menghukum nelayan yang terlibat.

Menurutnya, antara bentuk tindakan yang boleh diambil LKIM dan agensi lain adalah menarik balik kelayakan untuk subsidi bahan api itu serta menutup operasi persatuan nelayan tersebut.

Katanya, LKIM bersama agensi lain juga sentiasa memantau aktiviti itu meskipun kesalahan melibatkan minyak diesel bersubsidi nelayan yang dikesan ketika ini masih terkawal.

“Berdasarkan kajian LKIM, tidak berlaku ketirisan yang ketara dan kes-kes yang berlaku hanya kes terpencil dengan hanya dua atau tiga kesalahan direkodkan pada tahun ini.

“Walaupun kes terpencil, LKIM memandang berat isu ini dan kelayakan subsidi akan dibatalkan kepada nelayan atau persatuan nelayan yang terlibat dengan ketirisan bahan api tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Ramah Mesra Madani Pengerusi LKIM di Pejabat LKIM Negeri Terengganu di Pelabuhan Chendering di sini, hari ini.

Pada program itu, Muhammad Faiz turut menyerahkan bantuan peralatan bernilai RM225,000 kepada 99 nelayan selain peruntukan RM300,000 kepada tiga persatuan nelayan kawasan bagi projek ternakan ikan.

Pengerusi LKIM itu menambah, beliau turut memberi contoh sebuah stor haram di Sungai Besar, Selangor dan stesen minyak di Kerteh, Kemaman yang telah ditutup kerana menyeleweng minyak diesel bersubsidi pada Mac dan Mei lalu.

Tambahnya, Terengganu akan terus diberi perhatian khusus kerana potensinya dengan sumber laut yang banyak walaupun jumlah pendaratan ikan kelapan tertinggi dengan hanya 14,443 metrik tan pada 2023.

“Setakat Jun tahun ini pula sebanyak 6,516 metrik tan direkodkan di lapan kompleks LKIM seluruh Terengganu dan ini didorong kekurangan pengusaha bot laut dalam kelas C dan C2,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN