Persaraan bukan pengakhiran - Mohd. Zuki

Persaraan bukan pengakhiran – Mohd. Zuki

MOHD Zuki Ali bergambar bersama Kelab Media Putrajaya di bangunan Perdana Putra di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tan Sri Mohd. Zuki Ali menyifatkan persaraannya dalam perkhidmatan awam bukan satu pengakhiran untuk beliau terus berkhidmat kepada negara.

Sebaliknya, beliau yang berpengalaman 32 tahun berkhidmat dalam kerajaan menyatakan kesediaan untuk terus membantu kerajaan dan memberikan apa jua pandangan yang diperlukan.

Beliau pada masa sama turut menghargai kepercayaan yang diberikan kerajaan selepas berpeluang untuk berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) di bawah dua Yang di-Pertuan Agong dan empat Perdana Menteri.

“Hari ini merupakan hari terakhir saya sebagai penjawat awam setelah saya berkhidmat lebih 32 tahun tujuh bulan dan saya rasa syukur kerana sepanjang tempoh itu saya berkhidmat sebagai KSN banyak pengalaman saya lalui dan hikmah saya dapat.

“Saya bersedia untuk berikan apa juga khidmat, nasihat, pandangan ataupun jika masih diperlukan, saya akan terus berikan,” katanya.

Terdahulu, Mohd Zuki mengimbas waktu keluar buat kali terakhir pada pukul 4.30 petang sebelum meninggalkan bangunan Perdana Putra setengan jam kemudian.

Beliau yang memakai suit hitam bertali leher biru gelap diiringi Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar yang bakal memulakan tugas sebagai KSN Isnin depan.

Mohd Zuki dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara pada 31 Disember 2019 dan beliau menjawat semula jawatan itu secara kontrak untuk tempoh dua tahun mulai 11 Ogos 2022 hingga 10 Ogos 2024.

Mohd. Zuki, 62, turut merakamkan tahniah atas pelantikan Shamsul Azri, malah percaya kecemerlangan perkhidmatan awam akan terus gemilang di bawah kepimpinan Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) itu.

“Kepada semua penjawat awam, marilah bersama-sama kita laksanakan tugasan ini, tanggungjawab kita untuk memastikan aspirasi Kerajaan Madani tetap dijalankan sebaik mungkin.

“Terima kasih jua kepada sahabat media yang banyak memberikan sokongan,” katanya.

Ketika ditanya ke manakah beliau akan berkhidmat selepas ini, Mohd. Zuki hanya menjawab:

“Tunggu. Saya bersedia bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membantu kerajaan,” katanya.

Anwar sebelum ini memberikan bayangan ‘ada tugas lain’ untuk Mohd. Zuki bagi meneruskan khidmatnya membantu kerajaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN