KUALA LUMPUR: UMNO perlu mengetengahkan lebih ramai pemimpin baharu dalam menjalin kerjasama politik dengan parti-parti lain bagi mewujudkan kepercayaan orang luar terhadapnya.
Naib Presidennya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, meskipun UMNO adalah parti yang besar, namun tidak semestinya ia boleh dominan dalam pentadbiran kerajaan.
“Apa yang kita perlu tekan kan adalah UMNO perlu melahirkan ramai pemimpin yang boleh memberi dan mewujudkan kepercayaan kepada pengundi di luar sana kerana bukan semua ingin menyertai UMNO.
“Walaupun kita parti yang besar tetapi tidak semestinya kita boleh menjadi dominan. Oleh itu, kita kena baik pulih cara kita agar boleh bekerjasama dengan parti lain untuk bangunkan semula negara ini pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, UMNO merupakan sebuah parti yang tidak boleh dilupakan oleh mana-mana pihak dalam membangunkan dan memerdekakan negara meskipun kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Jelasnya, UMNO juga perlu mengubah cara mereka melalui kerjasama dengan parti lain.
“Walaupun kalah macam mana pun, Presiden menekankan bahawa semua ahli UMNO perlu bangun semula dan menerima hakikat bahawa dunia hari ini, banyak negara di luar sana sudah berhadapan dengan situasi agak sukar untuk mendapat kedudukan mutlak dalam mentadbir negara.
“Maka kita terpaksa bersedia dan mengubah cara serta dinamik kita iaitu menerima hakikat bahawa kita perlu berkerjasama dengan banyak parti di luar sana memandangkan dinamik politik telah berubah,” katanya. – UTUSAN