BANGKOK: Srettha Thavisin dipecat sebagai Perdana Menteri Thailand setelah didapati bersalah melanggar etika kerana melantik seseorang individu yang pernah disabit bersalah sebagai menteri.
Mahkamah Perlembagaan Thailand mencapai keputusan itu semalam dengan lima hakim menyokong aduan dikemukakan manakala empat menolak sekali gus Thailand perlu melantik Perdana Menteri baharu.
Memetik laporan Thai PBS, keputusan itu sekali gus menyaksikan Srettha tersingkir sebagai Perdana Menteri Thailand ke-30.
Dalam pada itu, Srettha ketika ditemui media memaklumkan, beliau menerima keputusan tersebut dan berharap Thailand terus dalam keadaan stabil.
Beliau menyifatkan tempoh satu tahun amat bermakna buat dirinya kerana berjaya melakukan banyak perancangan kepada negara.
Sebelum ini, Srettha dituduh melanggar peraturan etika dengan melantik Pichit Chuenban, seorang peguam yang rapat dengan keluarga bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra sebagai menteri, iaitu pernah disabitkan dengan hukuman penjara selama enam bulan pada 2008 kerana kesalahan berkaitan rasuah.
Pichit meletak jawatan sebagai menteri dalam usaha melindungi Srettha tetapi Mahkamah Perlembagaan tetap bersetuju mendengar kes terbabit, yang dimulakan oleh aduan daripada senator yang dilantik tentera.
Ekoran keputusan mahkamah ini, Thailand perlu melantik Perdana Menteri yang baharu dalam tempoh 18 bulan selepas pilihan raya umum pada Mei 2023.
Terdapat tiga calon sesuai yang disebut-disebut iaitu Ketua Parti Pheu Thai, Paetongtarn Shinawatra; Timbalan Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul yang merupakan Ketua Bhumjaithai Party dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Prawit Wongsuwan iaitu pemimpin Parti Palang Pracharath, parti terbesar ketiga dalam blok kerajaan.
Srettha, seorang pemaju hartanah yang memasuki bidang politik tahun lalu menghadapi tentangan yang ketara terhadap polisi-polisinya sejak beliau memegang jawatan dengan tinjauan bulan Jun menunjukkan majoriti rakyat Thailand menolak agendanya.
Parti Pheu Thai, di bawah pimpinan Srettha dan parti sebelumnya antara punca pergolakan Thailand dengan dua kerajaan terdahulu disingkirkan melalui rampasan kuasa, akibat dendam lama antara pengasas parti itu, iaitu keluarga hartawan Thaksin Shinawatra dan pesaingnya seperti pemimpin konservatif serta pegawai tentera yang menyokong raja.
Thailand telah menyaksikan banyak perdana menteri digulingkan oleh keputusan undang-undang dan rampasan kuasa dalam dua dekad yang lalu, termasuk oleh Mahkamah Perlembagaan. – AGENSI