Peralihan tenaga bersih di KHTP perlu dicontohi

Peralihan tenaga bersih di KHTP perlu dicontohi

FADILLAH Yusof (tengah) bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan kenamaan lain melawat Stesen Jana Kuasa Turbin Gas Kitaran Terbuka 90MW di NUR Power di KHTP, Kulim. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Peralihan tenaga bersih yang dilaksanakan di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), di sini perlu dijadikan teladan kepada taman teknologi perindustrian lain di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, usaha di KHTP itu seiring dengan aspirasi sasaran karbon sifar bersih seawal 2050 dan selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) serta Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Beliau berkata, dalam landskap tenaga dunia pula, negara-negara dengan ekonomi yang pesat membangun telah mula menggalakkan peralihan tenaga secara berkesan.

“Menurut laporan World Economic Forum, Fostering Effective Energy Transition 2023, China, India, Brazil dan negara jiran Indonesia merupakan antara negara utama dunia yang menunjukkan lonjakan ketara dalam peralihan tenaga,” katanya pada Majlis Pelancaran Stesen Jana Kuasa Turbin Gas Kitaran Terbuka 90 Megawat (MW) NUR Power, di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, kebanyakan negara telah mengalihkan tumpuan mereka kepada keselamatan tenaga dengan mengutamakan jaminan pembekalan.

Pada masa sama ujar Fadillah, negara-negara itu turut mengenepikan ekuiti dan melaksanakan peralihan yang lebih pantas serta inklusif untuk masa depan tenaga yang lebih mampan, selamat dan saksama.

Bagaimanapun kata beliau, hala tuju yang digariskan dalam NIMP 2030 dan NETR itu hanya akan kekal menjadi polisi sekiranya tidak disokong oleh pemain-pemain industri.

“Dasar dan hala tuju pada masa hadapan akan berpaksikan kepada peralihan tenaga yang seimbang yang perlu diuruskan secara berkesan.

“Peralihan tenaga akan menjadi paksi utama dalam pelbagai sektor termasuk Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang akan menggalakkan tenaga bersih, inovasi dan kecekapan tenaga di samping memastikan peralihan itu memberi manfaat kepada semua segmen masyarakat,” katanya.

Menurut Fadillah, pelaburan berskala besar dan berteknologi tinggi di KHTP hanya akan dapat direalisasikan dengan adanya bekalan tenaga yang konsisten dan boleh dipercayai untuk menyokong operasi mereka. 

Justeru ujar beliau, turbin gas kitaran terbuka NUR Power yang dilancarkan itu akan menjana kuasa sehingga 90MW iaitu sebagai tambahan kepada 220MW keupayaan penjanaan sedia ada bagi memenuhi permintaan elektrik di KHTP yang semakin meningkat.

“Dengan wujudnya stesen janakuasa yang baharu ini, saya yakin KHTP akan kekal menjadi pilihan utama pelabur melalui prasarana yang bertaraf dunia, cekap tenaga dan menawarkan tarif yang kompetitif di Semenanjung ketika ini.

“Ini termasuk pelaburan tambahan oleh syarikat gergasi semikonduktor dari Jerman, Infineon Technologies AG berjumlah RM30.1 bilion untuk fasa kedua pembinaan kilang fabrikasi kuasa silikon karbida 200-milimeter yang menjadikan jumlah keseluruhan 7 bilion euro atau bersamaan hampir RM40 bilion,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya