Perak puas hati capai sasaran 35 emas Sukma - Utusan Malaysia

Perak puas hati capai sasaran 35 emas Sukma

SAARANI Mohamad berucap pada Istiadat Konvokesyen Politeknik Ungku Omar (PUO) di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perak berpuas hati dengan prestasi kontinjen negeri itu apabila berjaya mencapai sasaran 35 emas dalam Sukan Malaysia 2024 (Sukma 2024) di Sarawak yang berakhir kelmarin.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia merupakan satu pencapaian kerana berjaya menepati sasaran emas yang ditetapkan meskipun gagal berada dalam kelompok lima teratas daripada segi pungutan keseluruhan pingat.

“Sasaran kita hendak sekurang-kurangnya 35 emas dan kedudukan nombor lima. Tetapi kita tak tercapai kedudukan nombor lima, kita nombor tujuh. Bagaimanapun, kita capai 35 emas itu.

“Itu satu pencapaian, walaupun ada beberapa acara yang sepatutnya dapat emas, kita terlepas. Ada acara yang tak patut dapat emas, kita dapat. Kita boleh perbaiki lagi kelemahan kita untuk pertandingan dua tahun lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa hadir bagi menyempurnakan hari pertama Istiadat Konvokesyen Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini hari ini, yang melibatkan penyampaian ijazah, diploma dan sijil kepada lebih 400 graduan.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah dan Pengarah PUO, Dr. Shamsuri Abdullah.

Perak menamatkan saingan dalam temasya dwitahunan itu di tempat ketujuh dengan mengumpul 35 emas, 38 perak dan 57 gangsa, sekali gus memperbaiki pencapaian dua tahun lalu dengan 27 emas, 28 perak dan 46 gangsa di tempat kelapan.

Dalam pada itu, Perak menyediakan insentif tambahan buat atlet negeri yang berjaya mencapai prestasi luar biasa dalam pertandingan yang diadakan.

Khairudin berkata, insentif tersebut akan disediakan seperti buat atlet angkat berat Perak, Qistina Qharisya Suffia Mohd. Muzani yang memecahkan tiga rekod kebangsaan kategori 45 kilogram (kg) wanita di Sukma 2024.

Qistina, 19, memecahkan rekod acara snatch dengan angkatan seberat 65kg, clean and jerk (79kg) seterusnya mendominasi podium dengan angkatan keseluruhan 144kg.

“Untuk makluman memang kita ada sediakan insentif tambahan untuk atlet yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan seperti Qistina. Dia pecahkan tiga rekod kebangsaan.

“Dia layak untuk dapat RM1,000 untuk satu rekod kebangsaan. Insentif memang kita sudah siap sediakan dalam bajet untuk Sukma ini,” kata Khairudin.

Perak sebelum ini menawarkan ganjaran RM5,000 buat atlet mereka yang berjaya merangkul emas untuk Sukma kali ini, dan Khairudin membayangkan Qistina akan memperolehi RM5,000 berserta tambahan RM3,000 apabila berjaya tiga rekod kebangsaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN