Perak mohon peruntukan baik pulih jambatan runtuh - Utusan Malaysia

Perak mohon peruntukan baik pulih jambatan runtuh

SAARANI Mohamad (depan) dalam sidang akhbar pelancaran Bantuan Baucar Buku Mahasiswa Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perak akan memohon ihsan Kerajaan Pusat bagi peruntukan membaik pulih infrastruktur khususnya jambatan yang musnah akibat kejadian kepala air di Slim River baru-baru ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peruntukan itu termasuk anggaran RM40 juta bagi menggantikan satu daripada tiga jambatan yang rosak, manakala dua lagi masih dalam proses mendapatkan kos.

“Jadi kita putuskan kesemua peruntukan untuk membaik pulih itu kita mohon ihsan daripada Kerajaan Persekutuan.

“Kita akan tulis surat kepada mereka (Pusat) supaya dapat dibaiki segera sebab ia telah menyebabkan berlakunya terputus hubungan antara penduduk kampung khususnya bagi jambatan utama itu sebab pelajar-pelajar perlu ke sekolah dan mereka memerlukan jambatan itu sebagai penghubung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Bantuan Baucar Buku Mahasiswa Perak dan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Kejadian kepala air di Slim River pada 23 Ogos lalu disifatkan bencana terburuk pernah berlaku dialami mangsa banjir yang telah menetap dalam tempoh lebih 20 tahun di situ.

Pada masa sama, Saarani berkata, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membina jambatan sementara bagi memudahkan penduduk setempat.

Berkenaan kos untuk infrastrukrur lain seperti loji rawatan air (LRA), beliau berkata, pihaknya belum mendapat angka sebenar daripada Lembaga Air Perak (LAP).

“LAP sedang buat kajian dan mereka akan kemukakan kepada Lembaga Pengarah untuk mendapat keputusan bagi membenarkan dia berbelanja untuk membaik pulih LRA,” katanya.

Berkenaan bantuan baucar buku, Menteri Besar berkata, sebanyak RM232,500 diperuntukkan bagi menjayakan program itu dan akan disalurkan secara one-off kepada 1,550 mahasiswa berkelayakan, dengan menerima RM150 seorang.

Katanya, penerima mesti menepati kriteria seperti warganegara Malaysia kelahiran Perak yang sedang melanjutkan pengajian sepenuh masa dalam tahun pertama serta mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM3,000.

“Inisiatif juga bertujuan menggalakkan budaya membaca dalam kalangan pelajar, merancakkan industri buku tempatan dan meringankan beban kewangan ibu bapa,” katanya dengan menjelaskan permohonan boleh dibuat menerusi laman web https://eheyns.com.my bermula hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN