Pentarama X Kelab Malaysiaku pupuk semangat patriotik pelajar

Pentarama X Kelab Malaysiaku pupuk semangat patriotik pelajar

PARA pelajar mengibarkan Jalur Gemilang pada Program Pentarama X Kelab Malaysiaku sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2024 di SMK Putrajaya Presint 5 (1) Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA GAMBAR : FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semangat patriotik perlu dipupuk dari peringkat awal dan disuburkan dalam jiwa para pelajar secara berterusan kerana golongan ini merupakan generasi pelapis negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa berkata, semangat itu juga tidak seharusnya terhenti pada bulan kebangsaan, namun ia perlu sentiasa tersemat di dalam jiwa mereka.

“Pogram (Pentarama X Kelab Malaysiaku) yang kita anjurkan ini tidak lain tidak bukan adalah untuk menyemarakkan lagi semangat bulan kebangsaan dan semangat patriotik.

“Kalau kita sebut sahaja di mulut, ia tidak menggambarkan apa-apa, jadi kita meriahkan lagi dengan inisiatif-inisiatif di mana pelajar boleh turut sama menunjukkan semangat patriotisme mereka dengan mengibarkan bendera, menyertai sembang santai dan kuiz kenegaraan serta menyanyikan lagu-lagu patriotik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Pentarama X Kelab Malaysiaku yang disertai kira-kira 1,500 pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 5(1) di sini hari ini.

Sempena Bulan Kebangsaan, Jabatan Penerangan (JaPen) menganjurkan Pentarama X Kelab Malaysiaku bersama 38 sekolah terpilih membabitkan lima negeri di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.

Mengulas lanjut, Mohamad Fauzi berkata, Pentarama X Kelab Malaysiaku merupakan salah satu program di bawah payung inisiatif ‘Satu Rumah Satu Bendera’ yang dilancarkan pada tahun ini.

Jelasnya, inisiatif tersebut meliputi lima kluster iaitu pendidikan, pendidikan tinggi, komuniti, keselamatan dan kesihatan.

“Program di sekolah hari ini adalah dibawah kluster pendidikan membabitkan sekolah rendah dan menengah. Untuk makluman, kita telah memilih 38 sekolah di seluruh negara, di Putrajaya kita pilih empat sekolah di Presint 8, Presint 9, Presint 14 dan Presint 5 (hari ini),” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar para pelajar di negara ini dapat terus mengekspresikan semangat cintakan negara serta berbangga mengibarkan bendera Jalur Gemilang.

“Di mana mereka pergi sekali pun, jika ada kesempatan mungkin mewakili negara untuk sukan, menyambung pengajian ke luar negara atau mungkin bekerja di luar negara jangan lupa Jalur Gemilang, ini adalah kebanggan kita bawa lah ke mana sahaja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya