Penipuan pelaburan ‘Pantheon Ventures’ libatkan kerugian lebih RM41j

Penipuan pelaburan ‘Pantheon Ventures’ libatkan kerugian lebih RM41j

Ramli Mohamed Yoosuf
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan terhadap skim penipuan pelaburan yang berselindung di sebalik nama sebuah syarikat pelaburan terkemuka, Pantheon Ventures.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sejak Julai lalu sehingga kini, sejumlah 97 laporan polis telah diterima berkaitan skim pelaburan tersebut melibatkan kerugian keseluruhan melebihi RM41 juta.

“Modal minimum bagi menyertai pelaburan itu sekitar RM50,000 dan ini mengakibatkan jumlah kerugian yang dialami setiap mangsa begitu besar. Setakat ini, jumlah kerugian tertinggi dicatatkan bagi seorang mangsa adalah RM5.75 juta.

“Mangsa berusia 63 tahun telah membuat laporan polis di Kuala Lumpur pada 15 Ogos 2024. Menurut mangsa  yang merupakan pengarah syarikat, beliau telah melayari laman Facebook dan berminat untuk menyertai pelaburan ‘Pantheon Venture’ pada sekitar Mei lalu,” katanya pada sidang akhbar di Menara KPJ di sini, semalam.

Menurutnya, pengadu telah dimasukkan ke kumpulan Whatsapp pelaburan tersebut dan diarahkan membuat sejumlah pembayaran ke beberapa akaun bank bagi tujuan pelaburan.

“Secara keseluruhan, mangsa telah membuat 26 transaksi pembayaran ke beberapa akaun bank milik syarikat berbeza melibatkan nilai keseluruhan RM5.75 juta.

“Pengadu tidak menerima sebarang keuntungan sehingga kini. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Jelas Ramli, apa jua bentuk tawaran pelaburan melalui platform media sosial perlu dianggap sebagai penipuan, dan tidak perlu ada kegusaran atau pertimbangan kepada perkara tersebut.

“Sekiranya ingin membuat pelaburan, lakukan secara selamat melalui pelaburan yang diiktiraf oleh badan-badan penguatkuasa pelaburan di negara ini seperti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Walaupun tawaran pelaburan tersebut dibuat oleh individu berperwatakan agama di media sosial, tiada jaminan ia merupakan skim pelaburan yang sah,” katanya.

Ia susulan hantaran yang tular di media sosial menawarkan tawaran saham Initial Public Offering (IPO) atau Tawaran Awam Permulaan bagi syarikat yang ingin disenaraikan di Bursa Malaysia.

“Perlu diingat bahawa IPO memerlukan proses tertentu yang perlu dipatuhi. Pelabur yang berminat untuk menyertai pelaburan sebegini digesa membuat semakan terlebih dahulu dengan SC yang merupakan badan penguatkuasa aktiviti berkenaan di negara ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya