DUNGUN: Kira-kira 18 pendaki Kelab Terengganu Backpackers dan Persatuan Malim Gunung menyertai aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan Jeram Lesung, Gunung Berembun, Hulu Dungun di sini, yang terjejas ekoran kejadian kepala air musim tengkujuh yang lepas, baru-baru ini.
Presidennya, Mohd. Rafi Kori berkata, kesemua ahli kelab yang aktif dengan aktiviti pendakian dan sukan itu terkejut melihat keadaan Jeram Lesung yang terkenal dengan keindahan alam semulajadi dan air yang jernih, berubah wajah ekoran kepala air.
“Ketika tiba, kami lihat keadaan di kawasan jeram itu dipenuhi dengan sisa kepala air seperti timbunan kayu dan sampah.
“Sebelum ini difahamkan, pihak Malim CBL telah mengusahakan sebahagian sisa kepala air ini di lokasi sekitar kem Langsir selepas musim tengkujuh yang lepas, namun masih ada sisa yang tinggal,” katanya selepas menyertai pendakian itu, di sini, semalam
Mohd. Rafi berkata, mereka mengambil masa lebih enam jam bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang bergotong-royong membersihkan sisa kepala air tersebut.
“Kerja-kerja pembersihan itu mengambil masa agak lama berikutan kami tiada peralatan pembersihan dan menggunakan kudrat semata-mata.
“Meskipun penat, namun kami gembira dapat memulihkan semula keadaan Jeram Lesung,” katanya.
Menurut Mohd Rafi, mereka mengambil masa kira-kira 10 jam untuk tiba di Jeram Lesung dan bermalam di Kem Sungai Langsir.
“Sebenarnya lokasi ini menjadi antara lokasi wajib pendaki yang mendaki Gunung Berembun kerana keindahan panorama dan air yang jernih bagaikan kristal,” katanya. – UTUSAN