KUALA NERUS: Seorang pembantu kedai makan ditemukan meninggal dunia di rumahnya di Kampung Batu Enam, di sini, malam.tadi.
Mayat lelaki itu dijumpai anak saudaranya dalam keadaan terlentang kira-kira pukul 7.45 malam dan disyaki sudah beberapa hari meninggal dunia.
Suhaizan Awang, 45, berkata, kejadian itu disedari ketika dia mahu mengajak bapa saudaranya, Hanafi Abu Bakar, 47, untuk makan malam.
Suhaizan yang tinggal berdekatan bagaimanapun kehairanan kerana mangsa tidak menjawab sahutannya beberapa kali lalu bertindak masuk ke bilik Hanafi.
“Saya sangkakan Hanafi sedang tidur kerana ketika saya membuka pintu, bilik itu dalam keadaan gelap sebelum saya terhidu bau kurang menyenangkan.
“Saya cuba pegang paha bapa saudara untuk kejutkan dia namun tidak sedap hati menyebabkan saya memanggil sepupu untuk membantu.
“Kami kemudian menghubungi pihak berkuasa dan Hanafi disahkan sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Menurut Suhaizan, bapa saudaranya itu difahamkan sudah tiga hari tidak datang bekerja dan kali terakhir dia berjumpa Hanafi adalah pada Sabtu lalu di rumah mangsa.
Katanya, mangsa juga mempunyai sejarah penyakit kencing manis dan tibi selain baru saja menetap di rumah peninggalan keluarga itu di Kampung Batu Enam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor, ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Menurut beliau, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu melalui panggilan kecemasan MERS 999 pada pukul 7.59 malam.
“Siasatan mendapati tiada unsur-unsur jenayah dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” ujarnya. – UTUSAN